Iklan

Cukai pelancongan tak jejas jumlah pelancong, kata menteri

Yasmin Ramlan7 years ago12th Mar 2018Berita
Iklan

CUKAI pelancongan yang dikenakan kepada pelancong luar langsung tidak menjejaskan jumlah pelancong ke negara ini, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Aziz.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, cukai pelancongan yang dilaksanakan kerajaan pada September 2017 itu turut menjadi amalan biasa di luar negara.

“Tidak menjejaskan. Malah, ia satu amalan yang dilakukan seluruh dunia.

“Kalau nak tahu betul atau tak, boleh pergi duduk di hotel pergi, check tengok macam-macam cukai - di India ada cukai Tuhan,” katanya.

Kata Nazri, ia merupakan salah satu kaedah negara dapat menjana wang melalui pelancongan.

“Ini semua merupakan cara/taktik bagaimana kita boleh dapat wang yang lebih.

“Dan ianya dibayar oleh pelancong-pelancong yang datang dari luar negara - langsung tak dikenakan oleh pelancong dalam negeri,” katanya.

Nazri berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dari ahli Parlimen Sik Mansor Abdul Rahman (BN) yang bertanya sama ada cukai tersebut menjejaskan jumlah pelancong ke negara.

Berdasarkan data dari Kementerian Kewangan, hasil kutipan cukai pelancongan bermula 1 September 2017 hingga 31 Disember 2017 adalah sebanyak RM39,975,634.

“Dari segi pembahagian kepada setiap negeri pula, walaupun sebelum ini saya telah mengumumkan agihan RM1 bagi setiap RM10, di sini saya amat berbesar hati mengumumkan agihan sebanyak RM5 bagi setiap RM10 kepada setiap negeri.

“Pembahagian cukai ini akan dibuat secara saksama berdasarkan peratusan kutipan cukai pelancongan di negeri masing-masing,” katanya. – 12 Mac, 2018.

Iklan
Iklan