Bengkel peperiksaan untuk semua pelajar, bukan ikut kaum, kata pendidik
Iklan
BENGKEL peperiksaan di sekolah sepatutnya tidak diasing mengikut kaum tetapi untuk semua pelajar, kata kumpulan pendidik dan ibu bapa.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) berkata dakwaan diskriminasi terhadap pelajar dalam program bengkel untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah di Johor tidak akan berlaku jika tiada pengasingan dibuat.
“Kejadian ini tak sepatutnya berlaku. Di mulut kita kata masyarakat kita berbilang kaum tetapi tindakan adalah sebaliknya,” kata Presiden PIBGN Profesor Madya Dr Mohd Ali Hassan kepada The Malaysian Insight.
“Integrasi akan memberi hasil yang positif; seperti saling bertukar idea, menggalakkan persaingan yang sihat serta menyemai semangat perpaduan.
“Prasangka buruk dapat dielakkan apabila pelajar lebih memahami rakan-rakan yang berlainan kaum. Mereka akan belajar dan berkongsi pengetahuan antara satu sama lain.
“Misalnya mungkin pelajar Melayu bagus dalam subjek Sejarah, jadi pelajar Cina boleh belajar dari mereka. Begitu juga jika pelajar Cina menguasai subjek Sains, mereka boleh ajar rakan-rakan Melayu,” katanya yang juga bekas pengerusi PIBG Kolej Tunku Kurshiah.
Ditanya jika pengasingan bengkel di sekolah adalah amalan biasa, Mohamad berkata ini pertama kali beliau mendengar dakwaan tersebut.
Tambahnya, sekolah harian seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus Convent di Johor Bahru tidak boleh berbuat demikian.
“Tetapi kalau di sekolah berasrama penuh kita faham bengkel tersebut khas untuk pelajar mereka, namun tidak sepatutnya berlaku di sekolah harian kerana ia terbuka kepada semua,” jelas Mohamad.
Baru-baru ini tersebar di media sosial SMK Infant Jesus Convent Johor Bahru didakwa menganjurkan bengkel persiapan menghadapi peperiksaan SPRM hanya untuk pelajar Melayu dan Islam.
Bengkel tersebut diadakan di sebuah hotel di Johor pada 19 dan 20 Januari.
Mengulas perkara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan wujud sebarang unsur diskriminasi terhadap pelajar bukan Islam pada bengkel berkenaan.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu menjelaskan bengkel tersebut diasingkan mengikut siri untuk mengelakkan gangguan terhadap calon yang sedang membuat persiapan bagi menyambut Tahun Baharu Cina.
Menurut KPM bengkel itu dilaksanakan di Hotel Suasana, Johor Bahru melibatkan 30 orang calon yang gagal Bahasa Melayu dan Sejarah serta calon GALUS (gagal lulus) beberapa mata pelajaran lain.
“KPM dimaklumkan bahawa bengkel susulan itu bagi calon lain juga sudah dirancang untuk dilaksanakan pada 26 dan 27 Januari di hotel sama,” katanya.
Beberapa ibu bapa yang terlibat dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) sekolah terbabit pula mendakwa kenyataan KPM itu bercanggah dengan penjelasan pengetua berhubung bengkel itu.
“Kedua-dua Bengkel Fasa 1 dan Fasa 2 ini tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat PIBG, atau ada permohonan untuk mendapatkan kelulusan dana untuk program terbabit,” kata mereka dalam satu kenyataan semalam.
Ibu bapa terbabit menyifatkan perkara itu sebagai ‘pecah amanah serius’, selain menyeru PIBG dan pentadbiran sekolah memastikan semua perancangan serta komunikasi masa depan dibuat secara kolaboratif dan telus bagi mengelakkan amalan diskriminasi. – 28 Januari 2023.
Berita penuh di sini