Saya bantah pemecatan Zaid secara tertutup, kata Khairy
Iklan
AHLI Umno yang dipecat Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan beliau berdiam diri apabila Zaid Ibrahim dipecat daripada parti itu pada 2008.
Khairy memberitahu BFM’s Breakfast Grill pagi ini beliau membantah pemecatan Zaid dalam mesyuarat tertutup.
“Saya selalu berkata semasa mesyuarat proses sewajarnya mesti dipatuhi. Seorang ahli mesti dihadapkan ke lembaga tatatertib (sebelum dia dihukum).
“Saya tahu apa yang dikatakan oleh Zaid, mungkin ini (pemecatan Zaid daripada Umno) tidak didedahkan secara terbuka tetapi aduan dibuat secara tertutup,” kata bekas menteri kesihatan itu.
Semalam Zaid yang merupakan bekas ahli Parlimen berkata ahli parti yang dipecat pada Jumaat lepas tidak bersuara apabila beliau dipecat secara pada 15 tahun lalu.
“Semasa saya dipecat dari Umno bertahun-tahun dulu kerana terlalu liberal, tidak ada surat tunjuk sebab, tidak ada amaran dan tidak ada asas.
“Tetapi mereka yang sekarang merungut tidak buat apa-apa.
“Anda pun tidak kurang tidak adilnya apabila memilih (untuk bersuara) ikut keadaan,” tulisnya di Twitter.
Beliau menyertai semula parti itu tahun lepas.
Khairy merupakan ketua pemuda parti ketika Zaid dipecat.
Zaid kelahiran Kelantan menyertai Umno pada 2000. Beliau memenangi Parlimen Kota Bharu pada 2004 tetapi tidak dipilih untuk mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum berikutnya.
Pada Jumaat lepas Umno memecat pemimpin parti Khairy dan Noh Omar kerana didakwa bertentangan dengan kepentingan parti.
Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dan Timbalan Ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan digantung selama enam tahun.
Turut digantung tugas ialah bekas ahli Parlimen Jempol Mohd Salim Shariff dan bekas Adun Tiram Maulizan Bujang. – 30 Januari 2023.