Iklan

Khairy akan kembali tidak lama lagi

Alfian Z.M. Tahir2 years ago30th Jan 2023Berita
Khairy jamaluddin 080920  full
Bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata beliau mungkin perlu memilih dengan teliti sebelum menerima sebarang tawaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2023.
Iklan

KHAIRY Jamaluddin dijangka membuat kemunculan semula selepas dipecat daripada Umno minggu lalu.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata beliau perlu mempertimbangkan pilihannya dengan teliti sebelum menerima sebarang tawaran.

Beliau berkata penyertaan semulanya ke dalam politik mungkin seawal beberapa pilihan raya negeri yang boleh diadakan pada bila-bila masa sekarang.

“Saya sedang mencari kelab baharu, meneliti pilihan saya dan apa yang masuk akal untuk masa hadapan. Ia bukan keputusan yang akan saya ambil mudah,” katanya dalam analogi pemain bola sepak profesional.

“Saya masih mahu terlibat dalam politik, sukar untuk melupakan, saya berada dalam parti selama 23 tahun dan saya tidak keluar parti, saya dipecat,” katanya kepada The Breakfast Grill di BFM pagi tadi.

Khairy berkata beliau terbuka untuk bertemu dengan sesiapa sahaja.

“Visi saya sendiri ialah parti inklusif yang mengamalkan tadbir urus yang baik dan ia mesti progresif. Juga perlu ada keserasian antara saya dan parti.

“Saya tidak tergesa-gesa untuk membuat keputusan dan saya sangat terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin berjumpa,” katanya.

Pada Jumaat lepas Umno memecat Khairy dan Noh Omar kerana didakwa bertentangan dengan kepentingan parti.  

Pada masa sama Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dan penyandang timbalan ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan digantung selama enam tahun.

Turut digantung ialah bekas ahli Parlimen Jempol Mohd Salim Shariff dan bekas Adun Tiram Maulizan Bujang.

Sehari selepas beliau dipecat, Gerakan mengajak Khairy menyertai parti itu.

Pemangku Ketua Pemuda Gerakan Wong Chia Zhen berkata bekas menteri kesihatan itu amat sesuai untuk parti berbilang kaum itu yang merupakan sebahagian daripada Perikatan Nasional.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga membayangkan kemungkinan menawarkan jawatan ketua pegawai eksekutif JDT FC dan penasihat Pemuda Johor kepada Khairy. – 30 Januari, 2023.

Iklan
Iklan