71 siasatan SPRM terhadap ahli politik BN sejak 5 tahun lalu
Iklan
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 71 kertas siasatan terhadap ahli politik Barisan Nasional antara 2013 dan 2017, kata menteri Paul Low, menolak dakwaan agensi anti rasuah itu mengamalkan sikap berat sebelah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, dalam tempoh yang sama, hanya 21 kertas siasatan dibuka terhadap ahli politik daripada pakatan pembangkang, Pakatan Harapan atau Pakatan Rakyat yang kini sudah tidak berfungsi.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang mendakwa SPRM mengamalkan berat sebelah dalam siasatannya terhadap ahli politik pembangkang.
Guan Eng dalam soalannya juga berkata SPRM membocorkan maklumat mengenai projek terowong dasar laut Pulau Pinang kepada media Barisan Nasional dan agensi itu gagal bertindak terhadap berita palsu yang mendakwa kerajaan negeri berkenaan menerima rasuah membabitkan jutaan ringgit, berbeza dengan laporan polis yang dibuat suruhanjaya itu selepas maklumat siasatannya ke atas exco Johor bocor.
“SPRM menjalankan siasatan terhadap mana-mana individu di bawah Akta SPRM 2009, secara telus dan profesional,” kata Low.
“Dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang, media telah menyiarkan laporan berita berhubung perkara itu namun laporan yang disiarkan bukan dokumen siasatan SPRM, jadi SPRM tidak membuat sebarang laporan polis berhubung laporan berita itu,” katanya.
Tambahnya, dalam kes exco Johor, SPRM membuat laporan polis kerana maklumat yang bocor itu diklasifikasikan sebagai sulit.
Pejabat Lim semalam menyelar media Barisan Nasional kerana memainkan isu gambar Lim dengan ahli perniagaan yang didakwa menerima wang daripada pemaju projek terowong dasar laut.
Katanya, ahli perniagaan berkenaan, yang merupakan pengarah sebuah syarikat sebaliknya “ada kaitan rapat dengan pemimpin BN”.
Media BN menganggapnya sebagai “bukti” bahawa Lim merupakan rakan kepada ahli perniagaan terbabit dan mempunyai kaitan dengan bayaran rasuah RM19 juta.
Gambar Lim, yang juga setiausaha agung DAP dan timbalan presiden Pakatan Harapan dengan ahli perniagaan terbabit tersebar sejak hujung minggu lalu.
Ahli perniagaan terbabit didakwa menerima RM19 juta daripada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd untuk “khidmat rundingan” bagi menghalang SPRM menjalankan siasatan ke atas projek terowong berkenaan.
Consortium Zenith menang tender terbuka untuk mengambil alih projek kerajaan negeri Pulau Pinang itu pada 2013.
Pada 2016, SPRM membuka siasatan ke atas projek terbabit berikutan dakwaan rasuah.
Consortium Zenith dilaporkan meminta RM19 juta dikembalikan pada Julai tahun lalu kerana ahli perniagaan terbabit gagal menunaikan janjinya.
Ahli perniagaan berkenaan ditahan SPRM, yang turut merampas lebih RM7.5 juta asetnya. Beliau kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin.
SPRM turut menahan seorang lagi ahli perniagaan yang didakwa menerima RM3 juta untuk khidmat rundingan yang sama berhubung projek terowong dan lebuh raya. – 12 Mac, 2018.