Kebakaran di Petaling Jaya, KWSP rugi RM1.85 juta
Iklan
KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalami kerugian sebanyak RM1.85 juta berikutan kebakaran bangunannya di Petaling Jaya bulan lalu, Parlimen diberitahu hari ini.
Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan, kebakaran juga dikenal pasti berpunca dari operasi penyelenggaraan yang dibuat sebelum kebakaran berlaku.
Dalam operasi itu, para pekerja memanaskan bahan tar (bitumen) untuk menyelenggara bahagian kalis air di tingkat satu bangunan tersebut.
“Semasa pemanasan itu, percikan api telah terkena kepada panel pelindung di bahagian luar bangunan yang diperbuat dari buih polistirena, sejenis bahan mudah terbakar lalu menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat.
“Kerugian akibat kebakaran ini dianggarkan sebanyak RM1.85 juta,” kata kementerian itu dalam satu jawapan bertulis kepada Hee Loy Sian (PKR – Petaling Jaya Selatan).
Hee meminta kementerian itu menyatakan punca kebakaran dan jumlah kerugian atas kecelakaan di bangunan tersebut.
Kebakaran pada 13 Februari itu itu melibatkan lima peratus daripada keseluruhan bangunan iaitu pada bahagian panel pelindung di bahagian kiri dan belakang bangunan tersebut.
Selain itu, kebakaran juga menjejaskan sebahagian kecil di tingkat enam.
Seramai 527 pekerja di bangunan tersebut berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian tersebut.– 12 Mac, 2018.