Iklan

Jangan hanya bergantung kepada simpanan KWSP, kata pakar

Angie Tan2 years ago4th Feb 2023Berita
Epf kwsp
Pencarum KWSP tidak boleh hanya bergantung kepada simpanan KWSP mereka untuk keperluan kewangan selepas bersara, kata pakar pengurusan dan perancangan kewangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Februari, 2023.
Iklan

PENCARUM Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak boleh hanya bergantung kepada simpanan KWSP mereka untuk keperluan kewangan selepas bersara, kata pakar pengurusan dan perancangan kewangan.

Merujuk kepada pendedahan lembaga KWSP baru-baru ini bahawa 97% pencarum berusia 55 tahun ke bawah belum mencapai tahap simpanan ideal RM600,000 dan oleh itu tidak dapat bersara dengan selesa terutamanya di bandar-bandar besar, Wong Chai Soon berkata rakyat Malaysia perlu melaburkan wang mereka di tempat lain termasuk berniaga.

Wong berkata mereka tidak akan berdepan kesukaran selepas bersara nanti sekiranya sudah melaburkan wang ke tempat lain.

“Menguruskan wang tidak sukar. Ia hanya memerlukan proses,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga menegaskan tidak semua rakyat Malaysia mempunyai simpanan dalam KWSP.

“Saya tidak. Adakah itu bermakna saya tidak boleh bersara?,” soalnya.

Wong berkata pada masa ini simpanan mereka dalam KWSP juga mencatatkan keuntungan sifar.

Beliau berkata pembayaran dividen kini adalah antara 5% hingga 6% yang sejajar dengan kadar inflasi negara sebanyak 5%.

Ketika era pra-pandemik 2019 KWSP mengisytiharkan dividen 6.1% untuk simpanan konvensional dan 5.65% dividen untuk simpanan syariah.

Wong berkata itu sekali lagi menunjukkan mengapa pencarum tidak boleh bergantung kepada simpanan KWSP untuk hari persaraan mereka.

Beliau berkata pembayaran dividen itu semata-mata mengekalkan kuasa beli wang mereka.

Kuasa beli itu dari semasa ke semasa boleh menjadi lebih kecil dan lebih kecil, tambahnya.

Oleh itu kunci kepada kebebasan kewangan semasa bersara terletak pada keupayaan seseorang untuk menguruskan wangnya dan membuat pelaburan yang betul.

“Kuncinya ialah seseorang itu mempunyai konsep pengurusan kewangan yang kukuh dan mengetahui wang yang boleh digunakan sekarang, kemudian dan apa yang boleh dan tidak boleh digunakan.

“Jika mereka tiada konsep, wang KWSP yang layak dikeluarkan sepenuhnya apabila mencapai umur persaraan akan dibelanjakan dengan cepat,” katanya.

Katanya beliau mempunyai ramai rakan yang menghabiskan semua simpanan KWSP mereka selepas mengeluarkannya dalam beberapa bulan sahaja.

“Setiap orang perlu mempunyai pengetahuan asas mengenai pelaburan untuk mengatasi masalah terbesar dalam hidup kita iaitu bagaimana untuk bersara dengan selesa.

“Ia sangat penting,” kata Wong.

Kebimbangan inflasi

Pemangku Presiden Majlis Perancangan Kewangan Malaysia Desmond Chong Kok Fei berkata inflasi menyebabkan orang ramai berasa bimbang.

“Inflasi menjadi salah satu ciri paling tersendiri dalam ekonomi global dalam era pasca pandemik Covid-19.

“Nilai wang menyusut menjadikan kuasa beli kami semakin kecil dan lebih kecil,” kata pengajar program pendidikan kewangan itu.

Dalam berkongsi tiga pertimbangan utama ketika merancang untuk bersara Chong berkata yang pertama ialah merancang untuk menangguhkan pelan persaraan mereka. 

“Mereka yang merancang untuk bersara pada usia 55 tahun mungkin perlu bekerja 10 tahun lagi.”

Yang kedua katanya ialah mengurangkan bajet perbelanjaan sara hidup bulanan mereka.

“Sebagai contoh jika mereka biasa hidup dengan RM3,000 sebulan, maka mereka perlu mengurangkannya kepada RM2,000.”

Chong mengakui itu akan menjadi perkara yang sukar dilakukan kerana tabiat sedia ada.

Pelan ketiga beliau adalah serupa dengan rancangan Wong iaitu pelaburan.

Beliau berkata perkara utama yang perlu dipertimbangkan semasa membuat pelaburan ialah “sekurang-kurangnya mengatasi kadar inflasi”.

“Jadi jika kadar inflasi ialah 4%, untuk pulangan pelaburan, pelaburan itu sepatutnya melebihi 4%.”

Pada 25 Januari lalu Lembaga KWSP membuat penilaian pesara di Lembah Klang dan bandar seperti Kuala Lumpur, Kuching atau Kota Kinabalu perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM600,000 untuk bersara dengan selesa.

Bagaimanapun lembaga itu menyatakan kira-kira 97 peratus ahli pencarum berumur 55 tahun ke bawah tidak mencapai tahap simpanan ideal RM600,000 untuk bersara dengan selesa di bandar-bandar utama.

“Hanya 2.6% atau 350,000 ahli boleh memenuhi ambang simpanan ideal di atas,” katanya. – 4 Februari, 2023.

Iklan
Iklan