Rakyat putus bekalan air kerana MB takut bayang-bayang, kata menteri
Iklan
Menteri hal ehwal air Maximus Ongkili berkata gangguan bekalan air di Selangor disebabkan oleh kelemahan Menteri Besar Azmin Ali yang takut untuk bertindak dalam pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash).
Katanya, Azmin takut untuk membuat tawaran harga bagi mengambil alih Splash untuk membolehkan kerajaan negeri menstruktur semula pengurusan air di negeri itu.
Malah, perjanjian berkenaan ditangguh berulang kali dan menyebabkan kerajaan persekutuan tidak dapat masuk campur dalam pengurusan perkara itu.
“Sudah banyak kali perjanjian ini ditangguhkan hanya kerana MB Selangor dan Selangor secara keseluruhan takut nak buat tawaran, takut (dengan) bayang-bayang tanpa Bandar Tun Razak,” kata Ongkili.
Beliau menjawab soalan Khalid Ibrahim (Bebas – Bandar Tun Razak) yang juga bekas menteri besar Selangor dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Dalam ucapannya, Maximus turut menangkis kenyataan Charles Santiago (DAP – Klang) bahawa tawaran untuk pengambilalihan itu perlu dibuat oleh kerajaan persekutuan.
“Sangat mudah, tawarkan harga. YB Klang Charles Santiago kata kerajaan persekutuan sepatutnya tetapkan harga. Mengapa pula kerajaan persekutan perlu tetapkan harga?
“Sistemnya ialah siapa yang hendak beli aset air itu perlu menawarkan harga,” katanya.
Tambahnya menteri itu lagi, sikap kerajaan Selangor yang enggan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan menyebabkan kesusahan kepada rakyat.
“Tak ada tulang belakang (tidak berani) untuk berani menyatakan. Anda nyatakan harganya esok, kita boleh berbincang, dan berapa banyak kerajaan persekutuan boleh bantu anda.
“Jika tidak, anda hanya buat rakyat menderita. Semua halangan-halangan ini – catuan oleh kerana kerajaan Selangor,” katanya.
Tegasnya lagi, penstrukturan semula perlu dibuat dengan cepat dan mengikut tertib untuk mengelakkan dari membayar kadar faedah yang tinggi.
Rancangan untuk penstrukturan semula itu sudahpun dimulakan ketika kerajaan negeri masih bawah pentadbiran Khalid Ibrahim sebagai menteri besar, dengan mengambil alih empat syarikat.
Pada 2014, tiga syarikat konsesi air bersetuju ke atas tawaran pengambilalihan ekuiti, aset dan liabiliti air oleh kerajaan Selangor.
Tiga syarikat tersebut merupakan Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas).
Bagaimanapun, pihak syarikat Splash tidak bersetuju dengan tawaran kerajaan Selangor. – 13 Mac, 2018.