Iklan

Putrajaya jumpa Facebook, Google bincang RUU berita palsu

Yasmin Ramlan7 years ago13th Mar 2018Berita
Azalina fb google
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said menemui wakil daripada penyedia platform media sosial utama bagi membincangkan Rang Undang-Undang berita palsu. – Gambar ihsan pejabat Azalina Othman Said, 13 Mac, 2018.
Iklan

PUTRAJAYA menemui wakil penyedia platform media utama Facebook, Google dan Twitter bagi membincangkan pengenalan Rang Undang-Undang berita palsu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said berkata ia antara lain bertujuan untuk mendapat lebih banyak pandangan dan input daripada pemain utama bidang media baru berhubung pengenalan RUU tersebut.

“Pertemuan ini penting bagi memastikan RUU yang sedang digubal itu komprehensif merangkumi setiap aspek. Tindakan ini juga sebagai bukti yang kerajaan bersikap inklusif dalam membuat sesuatu dasar atau undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pertemuan bersama wakil penyedia platform media itu di bangunan Parlimen semalam turut melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Wakil penyedia platform yang hadir semalam merupakan anggota badan promosi dasar Internet, Asia Internet Coalition, serta firma Google, Facebook, Youtube dan Twitter.

Undang-undang baharu itu menimbulkan kebimbangan pembangkang, aktivis dan  pengamal media yang melihatnya sebagai satu lagi usaha BN untuk menyekat kebebasan bersuara dan menyembunyikan kebenaran.

Lebih-lebih lagi, kerajaan sudahpun menganggap laporan media berpengaruh seperti Wall Street Journal, New York Times, The Economist, ABC dan MSNBC sebagai “berita palsu” atas pendedahan mengenai 1MDB dan rampasan kapal Equanimity.

Namun, Azalina berkata undang-undang berkenaan sebaliknya bertujuan untuk melindungi rakyat dan keselamatan negara.

“Seperti mana yang telah ditegaskan asas utama RUU ini adalah bagi membendung berita palsu yang boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“RUU ini juga bagi melindungi segenap masyarakat daripada menjadi mangsa kepada berita palsu.

“Saya percaya RUU ini mendapati perkembangan dan keperluan semasa bagi membanteras fenomena global penyebaran berita dan maklumat palsu daripada terus menular dan membarah di negara ini,” katanya.

Menurut ahli Parlimen pengerang itu, satu bengkel mengenai berita palsu juga telah diadakan di Asian International Arbitration Centre (Malaysia) (AIAC) bersama agensi kerajaan yang berkaitan.

SKMM pada akhir tahun lalu mengumumkan untuk mempergiatkan usaha memantau penyebaran berita palsu dan fitnah terhadap kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). – 13 Mac, 2018

Iklan
Iklan