Nilai purata bagi sumbangan politik adalah sifar, kata laporan
Iklan
SEKTOR awam memperoleh mata sifar menerusi empat soalan berkaitan pencegahan pengaruh tidak wajar dalam perkhidmatan awam, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Transparency International-Malaysia (TI-M) hari ini.
“The Business Integrity Country Agenda Assessment Report” melibatkan tiga pihak berkepentingan utama - sektor awam, sektor swasta dan masyarakat awam - yang disasarkan untuk menyediakan landasan bagi tindakan dan pembaharuan.
Soalan mengenai sama ada sumbangan politik dari sektor swasta untuk parti politik dan/atau individu, termasuk pelobian sektor swasta, dipantau atau dilarang oleh undang-undang, mendapat mata sifar. Ini memberikan mata sifar bagi kategori purata “Larangan Pengaruh Tidak Wajar”.
Soalan lain termasuk undang-undang, penguatkuasaan dan pendedahan awam mengenai konflik kepentingan lain.
Presiden TI-M, Akhbar Satar berkata laporan tersebut dilakukan secara berhati-hati.
“Ini merupakan cadangan. Jika udang-undang (mengenai sumbangan politik) tidak dilaksanakan, bagaimana kami nak beri markah yang bagus?” beliau berkata di Kuala Lumpur hari ini, sambil menambah laporan itu akan diserahkan kepada kerajaan tidak lama lagi.
Laporan penilaian tersebut turut menyertakan cadangan yang kebanyakannya mensasarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Cadangan jangka pendek juga termasuk Parlimen mempercepatkan pindaan Akta SPRM 2009 dengan memasukkan klausa liabiliti korporat ke dalam akta tersebut. – 13 Mac, 2018.