Iklan

Mansuh peraturan pemakaian pelitup muka, kata pakar

Angie Tan2 years ago9th Feb 2023Berita
49931216467 3f0e6a6950 b (1)
Pakar berkata peraturan pemakaian pelitup muka harus dimansuhkan kerana kebimbangan orang ramai akan jangkitan Covid-19 sudah hilang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Februari 2023.
Iklan

SEMUA peraturan pemakaian pelitup muka harus dimansuhkan, kata bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight kebimbangan orang ramai akan jangkitan Covid-19 sudah hilang dan kebanyakan daripada mereka tidak lagi memakai pelitup muka.

Walaupun beliau mempersoalkan kesahihan kes harian Covid-19 yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Dr Lee berkata kes harian tiga angka menunjukkan pandemik paling teruk sudah berakhir.

Beliau berkata orang ramai tidak lagi melaporkan apabila mereka positif Covid-19.

Kerajaan pada 1 Ogos 2020 mengumumkan pemakaian pelitup muka di luar adalah pilihan tetapi mewajibkan mereka yang positif jangkitan Covid-19 untuk memakainya ketika berada di pengangkutan awam dan di kemudahan perubatan.

Dr Lee berkata sudah tiba masanya untuk peraturan dalam tiga kategori ini ditarik semula kerana statistik kemasukan ke hospital, kes serius dan kadar kematian sangat rendah.

“Ini ditambah pula dengan fakta kita kini mempunyai imuniti kelompok. Hampir semua orang sudah diberi vaksin.”

Dr Lee menegaskan imuniti kelompok menyebabkan pengurangan ketara dalam tahap keterukan jangkitan dan kadar penularan yang lebih perlahan.

“Kerajaan perlu mengembalikan kehidupan rakyat kepada keadaan sebelum wabak itu,” katanya.

Beliau berkata di seluruh dunia banyak negara sudah membuka sempadan termasuk China yang menyaksikan peningkatan jangkitan pada tahun lepas.

“Adakah anda melihat orang memakai pelitup muka di majlis dan perhimpunan besar? Tidak ada laporan kes meningkat kerana itu.

“Oleh itu peraturan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka ketika menaiki pengangkutan awam adalah berlebihan. Ia sepatutnya ditamatkan sekarang.

Tetapi Dr Lee berkata adalah lebih baik untuk berhati-hati dengan peraturan di hospital.

“Mungkin ia perlu kekal selama satu atau dua bulan lagi,” katanya.

Beliau berkata ini disebabkan oleh kebimbangan jangkitan pernafasan yang dibawa oleh pesakit dengan jangkitan silang.

Pakar kesihatan di negara jiran Singapura mencadangkan sudah tiba masanya untuk kerajaan mereka memansuhkan pemakaian pelitup muka di pengangkutan awam dan kemudahan perubatan.

Mereka berkata langkah itu tidak lagi relevan kerana kawalan wabak negara berkesan dan orang ramai menjalani kehidupan normal.

Dr Moy Foong Ming dari Jabatan Perubatan Sosial dan Pencegahan Universiti Malaya berkata sudah masanya peraturan pemakaian pelitup dalam pengangkutan awam dimansuhkan.

Seperti Dr Lee, Dr Moy berkata dalam kes hospital ia mungkin masih perlu kerana pekerja penjagaan kesihatan mungkin bimbang dengan tahap kebolehjangkitan mereka terhadap virus.

Bagaimanapun apa yang penting kata Dr Moy ialah orang ramai masih perlu mendidik diri mereka tentang jangkitan dan memakai pelitup muka apabila diperlukan.

Beliau berkata keperluan untuk memakai pelitup boleh dimansuhkan sama sekali jika orang ramai bertanggungjawab secara sosial dan memahami bila mereka harus memakai pelitup muka.

“Jika mereka dijangkiti, mereka harus memakai pelitup muka untuk melindungi orang di sekeliling mereka,” katanya.

Pada 1 Mei tahun lepas, Kementerian Kesihatan menarik semula peraturan wajib pemakaian pelitup muka di luar rumah tetapi masih diwajibkan di tempat awam dan di kawasan tertutup.

Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin berkata keputusan itu berikutan risiko jangkitan yang rendah kerana kawasan luar mempunyai pengudaraan yang baik.

Pada 7 September tahun yang sama Khairy menarik semula peraturan wajib pemakaian pelitup muka di dalam rumah.

Beliau berkata ia kini menjadi pilihan orang ramai sama ada memakai pelitup muka atau tidak di dalam kawasan bertutup. – 9 Februari 2023.

Iklan
Iklan