Iklan

Ahli Parlimen DAP pertahan kenyataan gesa Pandikar letak jawatan 

Melati A. Jalil7 years ago13th Mar 2018Berita
Pandikar amin mulia 130517 tmiseth 006
Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia digesa meletakkan jawatan olh ahli Parlimen DAP selepas menolak usul tergempar mengenai 1Malaysia Development Berhad.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2018. 
Iklan

TIGA ahli Parlimen DAP mempertahankan kenyataan mereka untuk menggesa Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia meletakkan jawatan berikutan keengganannya membenarkan usul tergempar terhadap 1Malaysia Development Berhad - yang berkaitan dengan kapal mewah The Equinimity dan soalan berkaitan syarikat pelaburan negara itu untuk dibahaskan. 

Nga Kor Ming (DAP-Taiping) berkata mereka tidak akan berganjak walaupun Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) mempertikaikan tindakan tiga ahli parlimen terbabit kerana menghina Parlimen. 

“Kami hanya menjalankan tanggungjawab kami dengan bertanya soalan dan membawa usul di Parlimen, yang merupakan legislatif tertinggi di negara kita.

“Saya sudah banyak kali bertanya berkenaan 1MDB dan saya telah memfailkan usul mengenai 1MDB, malangnya tidak semua soalan dan usul kami dibenarkan dan kebanyakannya ditolak banyak kali sejak tiga tahun lalu,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini. 

Minggu lalu, Nga (Taiping), Ngeh Koo Ham (Beruas) dan V. Sivakumar (Batu Gajah) menggesa Pandikar untuk meletakkan jawatan selepas speaker itu menolak usul untuk membahaskan soalan berkaitan Equanimity dan 1MDB. 

Pandikar menolak usul tergempar oleh Gooi Hsiao Leung (PKR-Alor Setar), yang menggesa Perdana Menteri Najib Razak untuk menjelaskan mengapa kerajaan tidak berniat untuk menuntut kapal mewah yang dirampas itu. 

Usul berkenaan bagaimanapun ditolak di bawah Peraturan Mesyuarat 18(7) (c), yang membenarkan speaker untuk tidak menerima apa-apa usul yang dibawakan kepadanya sekiranya ia melanggar Peraturan Mesyuarat. 

Nga mengingatkan speaker itu bahawa keputusan dalam Dewan Rakyat tidak boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya kerana beliau perlu adil dalam membuat keputusan. 

“Hari ini merupakan hari bersejarah kerana Parlimen Malaysia menolak usul dan soalan kami, pada masa yang sama Parlimen Switzerland membahaskan usul berkenaan 1MDB.  

“Tidakkah kamu merasakan ada yang tidak kena dengan Parlimen Malaysia? Oleh itu kami ingin mengulangi dan menggesa speaker untuk menyediakan platform kepada semua ahli Parlimen bagi mencari kebenaran berhubung skandal 1MDB,” katanya yang turut menggesa speaker menjaga integriti Dewan Rakyat.  – 13 Mac, 2018. 

Iklan
Iklan