Dr Mahathir hairan PAS sanggup kerjasama dengan bukan Islam
Iklan
PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad menyindir PAS yang kini sanggup mengambil pandangan dari masyarakat bukan Islam untuk membentuk manifesto pilihan rayanya.
Dr Mahathir membangkitkan perkara itu kerana PAS sebelum ini menolak kerjasama dengan golongan bukan Islam sehingga menggelarkan orang Islam yang berbuat demikian sebagai “kafir”.
“PAS kalau bercampur dengan bukan Islam dia jadi kafir, tak akan dia boleh?
“Dia tak boleh (campur), orang yang pegang pada prinsip kalau campur dengan kafir dia akan jadi kafir,” katanya dengan sinis dalam satu sidang media hari ini.
Beliau juga menganggap PAS sebagai parti bukan Islam kerana pernah bekerjasama dengan parti DAP dalam Pakatan Rakyat sebelum ini,
“Sebelum ini sebab dia campur dengan DAP, saya anggap parti PAS ini tak Islam,” kata Dr Mahathir lagi.
Beliau mengulas manifesto PAS bersama parti Berjasa dan Ikatan dalam Gagasan Sejahtera yang diuar-uarkan sebagai “manifesto mesra bukan Islam”.
Manifesto berkenaan dijangka akan dilancarkan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 18 Mac.
Menurut Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, manifesto bertemakan “Malaysia Sejahtera” itu mengandungi sembilan teras utama sebagai dasarnya, termasuk pengharmonian sistem perundangan dan tadbir urus negara selaras kehendak syariah. – 13 Mac, 2018.