Iklan

Penduduk Bukit Tinggi bimbang banjir cetus tanah runtuh

Angie Tan2 years ago14th Feb 2023Berita
Bentong flash flood fb
Penduduk di Kampung Baru Bukit Tinggi di Bentong bimbang banjir kilat yang semakin kerap berlaku akan mencetuskan tanah runtuh. – Gambar Facebook, 14 Februari, 2023.
Iklan

HUJAN lebat di kawasan lama Kampung Baru Bukit Tinggi di Bentong pada waktu senja Ahad lalu mengakibatkan banjir teruk dan aliran lumpur, menyebabkan kerosakan besar pada permukaan jalan, kediaman dan kenderaan.

 Selain itu, ramai juga yang terperangkap kerana banjir.

Klip video yang disiarkan di media sosial menunjukkan air mengalir deras dan lumpur menuruni bukit serta merentasi jalan dan kemudian menuruni cerun di bawah bukit.

Penduduk tempatan kini mempersoalkan sama ada banjir kilat - kedua dalam tempoh setahun - berpunca daripada pembangunan yang berlaku di atas bukit.

Buat masa ini, wakil rakyat dan ketua kampung sama-sama menyatakan punca banjir kilat hanya akan ditentukan selepas siasatan selesai.

Adun Ketari Thomas Su Keong Siong berkata agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya, jabatan perhutanan dan pihak berkuasa tempatan akan menubuhkan pasukan untuk menyiasat kejadian banjir secepat mungkin.

“Pada masa sama, laporan siasatan juga perlu didedahkan kepada umum, supaya rakyat tahu punca kejadian,” kata Adun DAP itu kepada The Malaysian Insight.

Beliau meminta siasatan dijalankan secara mendalam dan berhati-hati, agar ia dapat mengelak sebarang kejadian berulang pada masa hadapan.

Dengan penduduk tempatan dan warga media sosial mengaitkan kejadian itu dengan pembangunan yang melampau, Su mengulangi pihak berkuasa harus diberi masa untuk mengendalikan dan menyiasat perkara itu.

Setakat pagi Isnin, banjir dianggarkan menjejaskan sekurang-kurangnya 15 kedai dan enam rumah.

Ketua Kampung Bukit Tinggi, Young Meow Foong berkata pihaknya masih mengira kerugian serta jumlah kediaman serta perniagaan yang terjejas.

“Saya masih mengumpul maklumat daripada penduduk kampung. Apa yang saya tahu setakat ini ialah setiap orang berdepan tahap kerugian yang berbeza. Malah ada yang dinding rumah mereka runtuh dan itu memerlukan banyak pembaikan dan perbelanjaan,” katanya.

Beliau menegaskan banjir menyebabkan panik di kalangan penduduk kampung.

“Sejak kebelakangan ini hujan kerap turun, terdapat bukit-bukit berdekatan. Penduduk kampung amat bimbang dengan kejadian tanah runtuh.

“Kita harap agensi kerajaan boleh datang menyiasat dan memberi jawapan terperinci kepada penduduk kampung supaya kami tidak perlu hidup dalam ketakutan,” katanya.

“Saya tidak pasti sama ada pembangunan (atas bukit) menyebabkan (banjir kilat), semuanya diserahkan kepada pegawai untuk menyiasat,” katanya.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman dalam pada itu menggesa agensi berkaitan di bawah kerajaan negeri dan persekutuan supaya menyiasat sama ada penerokaan tanah untuk pembangunan menyumbang kepada banjir.

“Ini adalah kejadian banjir kedua dalam tempoh kurang setahun. Perkara ini mesti diberi perhatian dengan tindakan segera,” katanya dalam satu kenyataan.

Penduduk kampung di sini sebahagian besarnya adalah petani. Kawasan ini juga merupakan tempat pelancongan yang terkenal dengan banyak restoran makanan laut dan gerai sayur segar, khususnya halia Bentong yang popular. – 14 Februari, 2023.

Iklan
Iklan