Ucapan terakhir di Dewan Rakyat, Rafizi minta maaf pada pemimpin BN
Iklan
AHLI Parlimen Pandan Rafizi Ramli hari ini memohon maaf atas segala kritikannya ke atas pemimpin Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat, memandangkan beliau menjangkakan ini sesi terakhir yang boleh disertainya.
Naib presiden PKR yang berdepan hukuman penjara 30 bulan itu berkata, kritikannya itu untuk memastikan pentadbiran BN menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat.
“Ini mungkin kali terakhir saya di Dewan ini memandangkan saya mungkin tidak bertanding pada pilihan raya akan datang.
“Jadi saya akan bermula dengan ucapan jutaan terima kasih, penghargaan Tan Sri Yang Dipertua, dan kepada Datuk Seri-Datuk Seri, timbalan-timbalan Yang Dipertua yang selalu memberi ruang dan pertimbangan yang sebaiknya kepada saya untuk berhujah.
“Saya berdoa Dewan ini akan lebih dimuliakan dalam masa-masa akan datang,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih ke atas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.
Pada awal Februari lalu, beliau didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam dan dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan kerana membocorkan maklumat akaun National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).
Turut didapati bersalah mengikut Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia) itu adalah seorang bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad.
“Saya juga ingin meminta maaf jika kritikan saya yang pedas kepada pihak kerajaan sejak selama lima tahun yang lepas di Dewan yang mulia ini, jika ada yang melukakan hati ahli Dewan di sebelah sana (BN).
“Saya tak pernah ada perasaan benci. Malah saya cukup senang juga dengan kawan-kawan dan juga sahabat-sahabat di sebelah sana (BN) yang turut bertukar-tukar kritikan,” katanya.
Katanya, memandangkan rakyat terus terbeban dengan masalah kos sara hidup yang kian meningkat hari ini, teguran terhadap pemimpin BN terutamanya kepada Perdana Menteri Najib Razak tidak terlepas dari pandangannya.
“Kritikan saya atas amanah yang kita pikul dan sebagai wakil rakyat dan ahli Parlimen, kita makan gaji dengan rakyat (meskipun) dalam keadaan mereka terpaksa menanggung beban yang berat.
“Oleh sebab itu saya tak boleh terus lari dari membawa beberapa perkara yang sangat rapat dengan rakyat.
“Apatah lagi dalam ucapan yang terakhir ini walaupun saya simpati dengan beban dan serangan yang terpaksa ditanggung oleh yang amat berhormat Pekan (Najib).
“Itu tidak kurangkan teguran saya kepada beliau walaupun ini ucapan yang terakhir kerana kerajaan terpaksa lagi berhadapan dengan rakyat yang semakin tertekan terutamanya berkaitan harga barang yang semakin tinggi,” katanya. – 14 Mac, 2018.