Iklan

Makan di luar akan jadi lebih mahal, kata peniaga

Angie Tan2 years ago21st Feb 2023Berita
Restaurant 250123
Ramai peniaga makanan terpaksa menaikkan harga kerana kenaikan harga bahan masakan yang tidak menunjukkan tanda penuruna. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2023.
Iklan

INDUSTRI makanan, dari restoran mewah hingga pengusaha gerai makanan jalanan, memberi amaran akan terpaksa menaikkan harga pada menu sekiranya kos bahan mentah untuk masakan tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dalam tempoh tiga bulan akan datang. 

Mereka berkata harga bahan seperti tepung, perasa, sayur-sayuran dan daging terus meningkat sejak separuh kedua tahun lepas.

Mereka mencadangkan kerajaan menawarkan insentif kepada mereka termasuk subsidi untuk pembelian beberapa bahan tersebut.

Pengerusi Gabungan Persatuan Peniaga Selangor Tan Luan Huat berkata peniaga hanya boleh menyerap kenaikan kos dalam tempoh yang singkat, selepas itu ia perlu diletakkan kepada pengguna.

Tan berkata pada penghujung tahun lalu, penjaja yang menganggotai persatuan itu membuat sedikit pelarasan harga terhadap harga menu bagi meringankan kos mereka menjalankan perniagaan.

Tetapi harga daging dan sayur-sayuran terus meningkat tanpa henti, katanya.

“Buat masa ini penjaja bertahan daripada menaikkan harga lagi kerana tidak mahu pelanggan lari.

“Buat masa ini mereka akan menyerap kos tambahan tetapi itu tidak boleh bertahan lama,” tambahnya.

Tan berharap kerajaan akan memberi perhatian kepada nasib mereka.

Bagi mengehadkan harga makanan, beliau mencadangkan kerajaan memberi subsidi kepada penjaja untuk pembelian beberapa bahan tersebut.

“Jika tidak, kami penjaja akan terpaksa membuat kenaikan harga lagi kepada makanan yang kami jual.”

Tan berkata penjaja di Selangor akan memantau keadaan dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang sebelum membuat keputusan.

Bergantung kepada kawasan di Selangor, semangkuk mi - makanan ruji sarapan pagi - adalah antara RM7 dan RM8.

Tan berkata dengan kenaikan harga tepung dan perasa semasa, harga semangkuk mi boleh mencecah RM10.

“Itulah yang kami takut. Kami khuatir tiada siapa yang sanggup membayar RM10 untuk semangkuk mee (mi).

“Perniagaan kami jadi taruhan.”

Guna pengganti lebih murah

Ketua unit aduan Gabungan Persatuan Penjaja Selangor dan Kuala Lumpur, Boon Kok Choon berkata, lebih ramai ahli mereka menggunakan bahan pengganti yang lebih murah dalam makanan mereka untuk mengurangkan kos.

Mengambil wonton mee sebagai contoh, Boon berkata daripada menggunakan wonton daging biasa, penjual menggantikannya dengan wonton ayam cincang.

Penjual lain tambahnya, turut mengurangkan saiz makanan yang mereka jual.

“Daging ayam agak stabil, jadi itulah sebabnya kebanyakan pengusaha gerai menggunakannya sebagai pengganti.”

Perniagaan yang lemah semasa tempoh Tahun Baharu Cina, tempoh di mana perniagaan biasanya rancak, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penjaja di negeri ini dan Kuala Lumpur, kata Boon.

Beliau berkata dalam mencari penyelesaian untuk tidak menaikkan lagi harga makanan, ahlinya merayu kepada tuan tanah – pemilik kedai kopi tempat mereka membuka gerai – untuk mempertimbangkan mengurangkan sewa gerai mereka.

Boon berkata beberapa pemilik kedai kopi bersimpati dan berjanji untuk mengurangkan kadar sewa sebanyak 5% hingga 15%.

“Mereka memahami kesukaran dihadapi penjaja ini. Mereka baru sahaja melalui wabak.

“Ia akan mengambil masa beberapa tahun sebelum kami pulih sepenuhnya.”

Seperti rakan sejawatnya Tan daripada Gabungan Persatuan Peniaga Selangor, Boon juga berkata berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mencari jalan penyelesaian bagi menahan kenaikan harga makanan.

Ringgit yang lemah

Naib presiden Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro Lim Kian Shou tidak menolak kenaikan harga dalam menu mereka walaupun berkata sebarang kenaikan pasti akan memberi kesan besar kepada perniagaan.

“Harga daging dan sayur-sayuran telah meningkat sebanyak 30% hingga 35%. Selain itu, sesetengah restoran mengimport kebanyakan bahan mereka untuk menaikkan harga menu mereka.

Ringgit yang lemah tidak membantu, kata Lim.

Tambahnya, hampir 80% restoran yang majoritinya restoran mamak telah menaikkan harga menu mereka.

“Mengenai sama ada akan ada kenaikan lagi, itu tidak boleh dijawab sekarang. Itu bergantung kepada kos bahan, nilai ringgit dan beberapa faktor lain,” kata Lim. – 21 Februari, 2023.

Iklan
Iklan