Iklan

Tidak wajar bangunkan Kg Baru tetapi Melayu terjejas, kata Anwar

Mohd Farhan Darwis2 years ago21st Feb 2023Berita
Parliament 210223 tmiseth-2
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata setiap perancangan untuk bangunkan Kg Baru perlu memastikan hak dan kedudukan pemilik tanah dipelihara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 21 Februari, 2023.
Iklan

PEMBANGUNAN semula kawasan Kampong Baru tidak seharusnya menjejaskan kepentingan masyarakat Melayu di kawasan perkampungan di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim. 

Ahli Parlimen Tambun berkata setiap perancangan untuk membangunkan kawasan berkenaan perlu memastikan hak dan kedudukan pemilik tanah dipelihara.

“Ada cadangan untuk mengadakan proses jual beli, tanggungan kerajaan sehingga RM6 hingga RM7 bilion, tidak mampu dikendalikan kerajaan sekarang.

“Ada juga cadangan membawa syarikat swasta, tetapi akan menjejaskan kepentingan dan kedudukan orang Melayu di bawah MAS (Penempatan Pertanian Melayu), ada juga cadangan proses pajakan.

“Saya fikir ini semua tidak wajar,” kata Anwar, pada sesi pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof yang meminta penjelasan sama ada kerajaan akan meneruskan proses pembangunan menyeluruh Kampong Baru, seperti dicadangkan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) antara 2018 hingga 2020.

Anwar dalam jawapan balasnya berkata, beliau akan mencari jalan untuk melaksanakan pembangunan di kawasan berkenaan dan pada masa sama memastikan kepentingan masyarakat Melayu Kampung Baru terjaga.

“Apa pun kita lakukan, saya akan bincang semua dengan mantan menteri sebelum ini dan pastikan pembangunan berjalan kepentingan masyarakat Melayu Kampung Baru terjaga.

“Beri ruang saya kaji semula dan saya akan rujuk pandangan masyarakat tempatan sendiri,” kata Anwar lagi. 

Malah, projek pembangunan dengan kaedah pajakan juga katanya tidak mempertahankan hak pemilik. 

“Saya tak boleh terima cadangan itu dan cadangan untuk meneruskan pajakan, walaupun hak milik kekal Melayu, ia tak pertahan hak Melayu, pajakan sehingga 60 tahun.

“Kita tak sedia lepaskan hak Melayu di situ, (bawa masuk syarikat) swasta, saya akan runding mencari kaedah lebih baik.

“Prinsipnya tak boleh lari, jaminan menteri dulu soalnya (tawaran) mereka ia tak beri pengaruh,” tambahnya.

Anwar sebelum ini menangguhkan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru, di Kampong Baru, Kuala Lumpur yang mendapat bantahan segelintir penduduk.

Penangguhan itu dibuat untuk antara lain bagi membolehkan rundingan diadakan antara pemilik dan pihak berkepentingan.

Kira-kira 260 penduduk di kawasan itu bagaimanapun meminta agar projek pembangunan semula itu diteruskan.

Pentadbiran Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad sewaktu kerajaan PH waktu itu ada membuat tawaran untuk mengambil alih tanah penduduk Kampong Baru dengan kadar RM1,000 kaki persegi untuk 230 ekar tanah kawasan tersebut.

Cadangan itu bagaimanapun tidak dapat dilaksanakan selepas kerajaan tumbang ekoran langkah politik. – 21 Februari, 2023.
 

Iklan
Iklan