Iklan

Umno Kota Raja harap Tengku Zafrul jadi calon PRN Selangor

Mohd Farhan Darwis2 years ago22nd Feb 2023Berita
Tengku zafrul tmikamal 01
Selepas PRU15 Tengku Zafrul dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kota Raja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2023.
Iklan

PIMPINAN Umno Bahagian Kota Raja mengharapkan pucuk pimpinan meletakkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Tengku Zafrul Aziz sebagai calon parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan datang.

Ketua Bahagian Umno Kota Raja Kamaruzzaman Johari berkata keputusan bagaimanapun bergantung kepada rundingan kerusi antara pihak terlibat.

“Bab perkara rundingan kerusi belum berlaku, kalau tidak ada kerusi kita pun tak boleh nak bertanding.

“Buat masa ini kita masih dalam perundingan, kepimpinan tertinggi akan tentukan.

“Tetapi harapannya adalah supaya Tengku Zafrul dapat bertanding di sana,” katanya.

Tengku Zafrul dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kota Raja sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada PRU15, Tengku Zafrul bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor tetapi kalah kepada calon Pakatan Harapan Dr Dzulkefly Ahmad dari Amanah.

Parlimen Kota Raja merangkumi tiga kerusi negeri iaitu DUN Sentosa, Sungai Kandis dan Kota Kemuning.

Kesemua kawasan itu dikuasai Pakatan Harapan (PH) dengan R Gunarajah yang juga ketua PKR Kota Raja mewakili Sentosa, Zawawi Mughni juga dari PKR sebagai Adun Sungai Kandis dan V Ganabatirau dari DAP terpilih Adun Kota Kemuning.

Parlimen Kota Raja pula dimenangi Presiden Amanah Mohamad Sabu pada PRU15 lalu.

Kamaruzzaman berkata sebarang keputusan untuk meletakkan Tengku Zafrul di salah satu kerusi negeri di Kota Raja tertakluk pada budi bicara PH.

“Tiga kerusi ini semuanya kerusi PH, dulu dalam Barisan Nasional (BN) rundingan dengan MIC dan MCA bukan mudah, kali ini nak berunding dengan PH pula…mereka akan ada suara lebih besar.

“Saya tidak berani nak kata apa-apa, tetapi ia hanya akan ditentukan melalui rundingan pihak tertinggi (dalam parti),” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Sungai Kandis secara tradisinya ditandingi MIC mewakili BN namun pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2018, ia diberikan kepada ahli MKT Umno Lokman Noor Adam, namun tewas kepada Zawawi.

Kota Kemuning pula kerusi tradisi Umno, namun diserahkan kepada Gerakan pada PRU14 manakala kerusi Sentosa juga tradisinya akan ditandingi komponen BN selain Umno.

Ketua Umno Bahagian Kuala Selangor Jahaya Ibrahim juga tidak menolak kemungkinan Tengku Zafrul, yang juga anggota MKT Umno akan bertanding di salah satu daripada tiga kawasan tersebut.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan kerusi berkenaan.

“Tengku Zafrul dah pindah ke Bahagian Kota Raja…dah kalah takkan nak bertanding lagi di Kuala Selangor.

“Setakat ini belum ada makluman calon bertanding (PRN),” katanya lagi.

Walaupun kalah PRU15 Zafrul dilantik senator dan menyertai Kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau pertama kali menyertai Kabinet ketika pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan diberikan portfolio Menteri Kewangan.

Sebelum PRU15, beliau juga dilantik sebagai bendahari Umno Selangor. – 22 Februari, 2023.

Iklan
Iklan