Pandikar tuntut pemohonan maaf dari ahli Parlimen DAP
Iklan
SPEAKER Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia menuntut tiga ahli Parlimen DAP untuk memohon maaf di Dewan Rakyat berhubung kenyataan yang menuduhnya kolusi dalam menutup skandal rasuah.
Katanya tiga ahli Parlimen terbabit, Nga Kor Ming (Taiping), Ngeh Koo Ham (Beruas) dan V. Sivakumar (Batu Gajah) menghinanya dan mencemar nama baih Dewan apabila membuat tuduhan berkenaan, termasuk memintanya meletakkan jawatan kerana gagal mendedahkan kebenaran sebagai speaker.
“Saya memberi kamu peluang untuk membuat permohonan maaf di Dewan kerana tuduhan yang dibuat terhadap speaker.
“Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan tindakan akan diambil terhadap Yang Berhormat,” katanya dalam surat kepada ahli Parlimen terbabit.
Surat berkenaan dikongsikan oleh DAP Perak di akaun Twitter.
Nga ketika dihubungi berkata, beliau akan membalas surat berkenaan esok.
“Kami akan mengadakan sidang media esok di Parlimen,” katanya.
Pada 7 Mac, tiga ahli Parlimen DAP itu mengeluarkan kenyataan, menggesa Pandikar meletakkan jawatan kerana menolak usul tergempar untuk membahaskan mengenai kapal mewah yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad The Equinimity dan soalan berkaitan syarikat pelaburan negara itu.
Minggu lalu, Pandikar menolak usul tergempar oleh Gooi Hsiao Leung (PKR-Alor Setar), yang menggesa Perdana Menteri Najib Razak menjelaskan mengapa kerajaan tidak berhasrat untuk menuntut kapal yang dirampas itu.
Usul itu bagaimanapun ditolak di bawah Peraturan Mesyuarat 18(7)(c), yang membenarkan speaker menolak mana-mana usul yang dibawa sekiranya melanggar Peraturan Mesyuarat. – 14 Mac, 2018.