Adun henti misi selamat mangsa tipu kerja kerana bahayakan nyawa, kos tinggi
Iklan
FAKTOR keselamatan, kos operasi yang tinggi dan tuduhan tidak berasas masyarakat terhadap dirinya menyebabkan Adun Teruntum Sim Chon Siang tidak mahu meneruskan usaha menyelamatkan rakyat Malaysia yang terpedaya dengan sindiket penipuan kerja di Myanmar, Thailand dan Kemboja.
Wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) itu berkata sudah tiba masanya tugas tersebut diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan khususnya Kementerian Luar Negeri.
“Itu tugas mereka,” katanya ringkas kepada The Malaysian Insight.
Sejak April tahun lalu Sim dan seorang ahli perniagaan Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Wong mengesan mangsa sindiket penipuan kerja di Myanmar, Thailand dan Kemboja untuk dibawa pulang. Seramai 96 rakyat Malaysia yang terkandas di tiga negara berkenaan berjaya diselamatkan.
Menurut Sim tugas menyelamatkan rakyat Malaysian ini amat berbahaya dan mengancam nyawanya.
“Saya tidak dapat lupakan semua yang kami lalui. Saya hanya berserah kepada takdir kerana tahu nyawa saya boleh hilang dalam sekelip mata.
“Adakah saya takut? Sudah tentu, kerana kami bukan berdepan dengan sekumpulan penjenayah kecil. Mereka ini bergerak dalam kumpulan yang besar dan sangat teratur.
“Keluarga saya memang sangat bimbang tentang keselamatan saya setiap kali kami jalankan misi menyelamat,” jelasnya.
Mengimbau semula bagaimana beliau boleh terlibat dalam misi menyelamat mangsa sindiket penipuan kerja ini, Sim berkata semuanya kerana tiada pilihan dan secara tidak sengaja.
“Semuanya demi rakyat Malaysia. Jika nyawa saya dapat ditukar dengan nyawa 1,000 mangsa, saya rasa usaha saya berbaloi.”
Tambahnya beliau tidak sampai hati untuk menolak apabila ibu-ibu mangsa sindiket ini merayu dan menangis ketika meminta bantuan agar anak mereka diselamatkan dan dibawa pulang.
Sim berkata mangsa yang berjaya diselamatkan memaklumkan sindiket penyeludupan manusia telah mengenal pasti beliau dan Wong sebagai individu yang paling dikehendaki kerana mengancam operasi mereka.
Beliau turut menceritakan detik-detik cemas ketika berada di Mae Sot yang terletak berhampiran sempadan Thailand-Myanmar, dan hanya dipisahkan oleh Sungai Moei.
Pekan Mae Sot dan Myawaddy, pekan di Myanmar dekat sempadan Thailand, menjadi titik perdagangan penting dua negara berjiran itu melalui laluan darat.
Menceritakan detik cemasnya di Mae Sot, Sim berkata ketika itu beliau sedang merakam dan mengumpul bukti mengenai aktiviti kumpulan sindiket pemerdagangan manusia yang beroperasi di Myanmar apabila dua lelaki bersenjata menghampiri dari arah belakang.
Peristiwa itu menyebabkan Sim bertekad untuk tidak membahayakan nyawanya lagi dan pada 19 Februari lalu beliau umum menghentikan misi menyelamat mangsa sindiket.
Usaha untuk menyelamatkan mangsa juga menelan kos yang tinggi katanya, iaitu sekurang-kurangnya RM20,00 seorang. Kos tersebut merangkumi tambang penerbangan dan denda kemasukan secara haram. – 23 Februari 2023.