Mana jawatankuasa dwipartisan mengenai berita palsu, soal Kit Siang
Iklan
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said mesti beri penjelasan mengapa tiada jawatankuasa khas melibatkan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dalam merumuskan rang undang-undang berita palsu, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.
Lim (DAP-Gelang Patah) berkata, pertemuan terkini antara Azalina dan penyedia platform media sosial baru-baru ini adalah sebahagian daripada kempen anti berita palsu serta bertujuan untuk menghalang perkembangan berita mengenai 1Malaysia Development Berhad sebagai berita palsu di Malaysia.
“Azalina kata pertemuannya dengan wakil-wakil gergasi internet untuk memastikan rang undang-undang berita palsu yang sedang dirumuskan adalah menyeluruh dan merangkumi semua aspek, dan itu itu membuktikan yang kerajaan termasuk dalam pembentukan dasar dan undang-undang.
“Kalau begitu, kenapa Azalina tidak berpegang pada kata-katanya yang rang undang-undang berita palsu akan dirumuskan oleh sebuah jawatankuasa khas melibatkan ahli Parlimen dari kedua-dua belah politik?” soal beliau pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Lim menggesa Azalina menerangkan amaran oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Jailani Johari kepada media asing supaya berhenti menyiarkan berita palsu mengenai 1MDB, yang diselubungi skandal hutang dan didakwa telah membiaya pembelian aset mewah serta penerbitan filem.
Pada Januari, Azalina telah berkata satu pasukan khas akan ditubuhkan bagi mengkaji undang-undang baharu untuk menangani berita palsu, yang boleh mengancam kestabilan politik dan menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara.
Beliau berkata pasukan khas tersebut merangkumi wakil dari pihak polis, Pejabat Peguam Negara, Bahagian hal Ehwal Undang-undang, Majlis Keselamatan Negara, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Tambah Azalina, Perdana Menteri Najib Razak telah bersetuju untuk melibatkan kumpulan masyarakat awam dan ahli ahli-ahli Parlimen dalam pasukan khas tersebut. – 14 Mac, 2018.