Iklan

Belanjawan 2023 perlu sedia dana cukup, jamin kedaulatan makanan, kata NGO tani

Mohd Farhan Darwis2 years ago24th Feb 2023Berita
49931068076 9e29e225e1 h
Pengerusi Badan Bertindak Pertanian Negara Mohd Faisal Idris berkata dana untuk sektor pertanian seharusnya digandakan bagi membiayai penyelidikan untuk membolehkan jaminan kedaulatan makanan dapat dicapai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2023.
Iklan

PUTRAJAYA perlu menyediakan dana mencukupi untuk sektor pertanian dan makanan negara dalam Belanjawan 2023 bagi memastikan sektor tersebut mampu menjamin kedaulatan sumber makanan untuk rakyat, kata pertubuhan bukan kerajaan berasaskan pertanian.

Pengerusi Badan Bertindak Pertanian Negara Mohd Faisal Idris berkata dana untuk sektor pertanian seharusnya digandakan bagi membiayai penyelidikan untuk membolehkan jaminan kedaulatan makanan dapat dicapai.

“Harapan saya agar peruntukan untuk pertanian digandakan daripada RM5 bilion kepada RM10 bilion kerana tajuk kedaulatan jaminan makanan memerlukan perbelanjaan yang besar.

“Jadi bajet itu mesti ditambah kerana jaminan kedaulatan makanan melibatkan kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang memakan perbelanjaan yang besar,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dalam Belanjawan 2022 kerajaan memperuntukkan sejumlah RM4.82 bilion dengan perbelanjaan mengurus sebanyak RM3.28 bilion manakala perbelanjaan pembangunan pula berjumlah RM1.54 bilion.

Peruntukan itu juga sudah dijajarkan kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0)

Faisal berkata, usaha mesti digerakkan segera untuk memastikan pengeluaran sektor pertanian dan makanan dapat menampung keperluan rakyat Malaysia yang semakin bertambah.

Sehubungan itu katanya, pihak berkepentingan perlu melihat sektor pertanian dari sudut mikro dengan melibatkan penyertaan seramai mungkin individu menyertai sektor tersebut untuk membolehkan kedaulatan jaminan makanan dapat dicapai.

“Untuk menangani isu telur umpamanya kita ada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), setiap daerah di dalam negara ada PPK, jadi kerajaan boleh bekalkan ayam bagi setiap PPK, jadi kita akan mendapat bekalan telur yang banyak jika setiap PPK mengeluarkan telur ayam mereka.

“Maka tidak perlu kita import telur ayam,” kata Faisal.

Pihak berkepentingan perlu melihat sektor pertanian dari sudut mikro dengan melibatkan penyertaan seramai mungkin individu menyertai sektor tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2023.

Perhatian khusus juga katanya harus diberikan kepada pengeluaran jagung bijirin yang menjadi sumber makanan utama bagi ternakan seperti ayam yang menjadi makanan ruji buat penduduk di negara ini.

“Sektor makanan memerlukan R&D, kita kena cari jalan bagaimana proses penanaman hingga tuaian jagung bijirin boleh disingkatkan untuk membolehkan hasil dituai lebih cepat.

“Kebiasaannya jagung bijirin memerlukan 120 hari daripada hari ditanam hingga penuaian, kita perlu cari jalan untuk tuai dalam masa 70 hari, jadi itu perlukan kajian,” kata Faisal lagi.

Langkah itu katanya membolehkan bekalan makanan ternakan dapat dihasilkan dalam tempoh singkat dan mengurangkan kebergantungan import bijiran makanan haiwan dari negara luar.

Fokus petani

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) Mohd Fuad Yaakob berharap Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan minggu ini memberikan fokus kepada golongan petani khususnya pesawah yang bergelut dengan peningkatan kos.

Beberapa isu harus diberikan perhatian antaranya subsidi kepada golongan tersebut yang mana perlu diberi kenaikan kepada RM500, kata Fuad kepada The Malaysian Insight.

Sejak lima tahun lalu, pesawah katanya hanya menikmati kadar subsidi sebanyak RM350 setahun sedangkan peningkatan kos berlaku di setiap peringkat penanaman padi.

Fuad berkata, disebabkan kawalan pihak kerajaan juga kebiasaannya rakyat Malaysia dapat menikmati sepinggan nasi yang dimakan berharga hanya kira-kira 26 sen.

“Kerajaan nak bantu rakyat agar kita dapat makan beras murah, jadi bila harga padi tak naik harga beras tak naik, tetapi kos yang kami tanggung kerajaan kena tengok.

“Harga padi masih tak naik, subsidi kekal, kerajaan mesti kekalkan mekanisme bagaimana ringankan kos pengeluaran padi,” katanya.

Pengerusi Pesawah Mohd Fuad Yaakob berharap Belanjawan 2023 memberikan fokus kepada golongan petani khususnya pesawah yang bergelut dengan peningkatan kos. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2023.

Tambahnya, sekiranya tiada tindakan dikhuatiri akan menjejaskan pendapatan hasil kira-kira 180,000 pesawah padi di seluruh negara. 

“Bila kos meningkat petani terbeban, kerajaan kena tengok balik untuk ringankan kos dan meningkatkan pendapatan petani. Setiap musim juga hasil tak menentu. 

“Kalau petani tak dibantu dengan subsidi mungkin bendang tak boleh beroperasi,” katanya.

Tuntutan Pesawah itu merupakan sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, dalam sektor jaminan kedaulatan makanan.

PH membentuk kerajaan kerajaan perpaduan bersama Barisan Nasional (BN) diperingkat Persekutuan, selepas PRU15.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 28 Januari juga memberi jaminan isu keselamatan makanan dan import makanan yang tinggi akan diberikan perhatian oleh pentadbirannya, dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan semula, hari ini. – 24 Februari, 2023.

Iklan
Iklan