Iklan

Umno mesti terus jelaskan pilihan sertai kerajaan perpaduan, kata Mahdzir

Diyana Ibrahim2 years ago24th Feb 2023Berita
Mahdzir fb
Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid menyifatkan kerajaan perpaduan yang dibentuk sekarang mencerminkan kerjasama pelbagai kaum dalam pentadbiran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2023.
Iklan

UMNO mesti terus menjelaskan kepada rakyat sebab ia memilih untuk bersama Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum lalu, kata naib presidennya Mahdzir Khalid.

Mahdzir berkata beliau menawarkan diri mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti bulan depan antara lain kerana mahu bersama-sama kepimpinan Umno untuk memulihkan semula imej parti Melayu itu.

“Saya bersedia ambil tanggung jawab bersama kepimpinan parti untuk beri gambaran jelas kepada rakyat termasuk pilihan kita, parti Umno dan Barisan Nasional memilih parti bawah kerajaan perpaduan… kita kena bagi penjelasan yang betul.

“Sekarang penjelasan yang betul sebenarnya sudah dibuat sebab apa kita pilih. Ia kerana untuk menentukan kerajaan yang ada pada hari ini berada di landasan betul dan kita pilih kerajaan PH untuk tubuh kerajaan perpaduan,” katanya dalam satu wawancara dengan NRC TV di Facebook malam tadi.

Beliau diwawancara atas tajuk “Melukis Wajah Umno di Era Madani”.

Jelas Mahdzir, Umno mesti menjelaskan kepada umum kesanggupannya menerima DAP, parti yang pernah ia label sebagai anti Melayu.

Katanya, persoalan itu sebenarnya tidak harus timbul dalam pembentukan kerajaan perpaduan sekarang kerana hakikatnya Umno sebelum ini tidak pernah menidakkan kaum lain dalam usaha membina negara bangsa.

Beliau malah menyifatkan kerajaan perpaduan yang dibentuk sekarang mencerminkan kerjasama pelbagai kaum dalam pentadbiran.

“Saya fikir ia adalah pembinaan sebuah kerajaan berasaskan integrasi nasional membina perpaduan nasional.

“Jadi kita tolak sebarang ekstremis, orang Melayu yang ekstrem kita tolak, Cina dan India yang ekstrem pun kita tolak.

“Kita tak ambil kumpulan yang ekstrem tapi kita ambil kumpulan yang boleh menerima dan membina negara bangsa,” katanya.

Semalam Mahdzir mengumumkan keputusannya mempertahankan jawatan naib presiden Umno.

Selain itu, seorang lagi naib presiden Khaled Nordin turut mengesahkan mempertahankan jawatan tersebut.

Bagaimanapun Ismail Sabri Yaakob setakat Rabu belum lagi memberi kata putus tetapi difahamkan cenderung untuk tidak bertanding jawatan naib presiden.

Pada perhimpunan agung parti Januari lepas, Umno memutuskan tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden.

Umno akan mengadakan pemilihan jawatan tertinggi parti secara serentak di seluruh negara pada 18 Mac. – 24 Februari, 2023.

Iklan
Iklan