Iklan

Proses mudah ambil pekerja asing bantu sektor pelancongan, kata industri

Angie Tan2 years ago25th Feb 2023Berita
50565781913 c3947b5a65 b
Warga tempatan kurang berminat dengan kerja 'housekeeping' jadi pengusaha hotel terpaksa menggaji pekerja asing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2023.
Iklan

KEPUTUSAN Kementerian Sumber Manusia untuk melanjutkan kelonggaran syarat pengambilan pekerja asing kepada industri pelancongan akan membantu menyelesaikan 10% hingga 20% daripada keperluan tenaga kerjanya, kata pemain industri.

Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Paul Paw berkata kelonggaran syarat pengambilan akan membantu industri intensif buruh pulih daripada kemelut yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Ketika pandemik, beribu-ribu pekerja meninggalkan sektor itu atau terpaksa diberhentikan kerja susulan sekatan Covid-19.

Paw, yang menyifatkan industri itu sebagai “terjejas teruk” berikutan pemberhentian pekerja secara besar-besaran, berkata sebuah hotel dengan 500 kakitangan pra-pandemik, terpaksa memberhentikan 400 pekerja semasa wabak itu.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight hotel kini sukar untuk mengisi kekosongan itu kerana penduduk tempatan tidak menganggapnya menarik, seperti di jabatan ‘housekeeping’.

Beliau berkata terdapat laporan beberapa hotel tidak dapat menyiapkan bilik dengan pantas supaya tetamu seterusnya boleh mendaftar masuk.

Ia katanya mencetus “pelbagai jenis aduan” dan menyebabkan hotel berada dalam “dilema”.

Housekeeping dalam industri perhotelan dianggap sebagai kerja 3D (berbahaya, kotor dan sukar) yang tidak mungkin menarik minat penduduk tempatan. Pekerjaan 3D lain yang tinggi dalam senarai industri perhotelan adalah mengurus.

Paw berkata industri itu kini sedang mencari pekerja asing untuk mengisi jawatan yang tidak diminati rakyat tempatan.

Beliau berkata kelonggaran syarat pengambilan pekerja asing juga akan banyak membantu industri/sektor berkaitan pelancongan seperti kedai produk tempatan, kedai cenderamata dan industri makanan dan minuman (F&B).

“Mereka kini boleh mengupah pekerja asing dan itu sepatutnya membantu menyelesaikan masalah tenaga kerja mereka.”

Paw berkata kelonggaran itu juga hadir pada masa yang paling sesuai apabila Malaysia sedang bersiap sedia untuk mengalu-alukan pelancong China.

China menarik balik sekatan perjalanan dan membuka semula sempadannya bagi perjalanan antarabangsa bulan lalu.

“Pelancong China tidak lama lagi akan datang dan dalam jumlah yang besar. Oleh itu kelonggaran itu tepat pada masanya.”

Pemain industri pelancongan tidak sabar menerima kehadiran pelancong dari China yang membuka semula sempadan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2023.

Terdedah kepada penyalahgunaan

Presiden Persatuan PKS Malaysia Ding Hong Sing berkata walaupun beliau memuji kerajaan kerana melanjutkan pengambilan, beliau bimbang sesetengah syarikat akan menyalahgunakan dasar dengan mengambil ratusan pekerja asing untuk melakukan kerja pembersihan.

“Saya bimbang sesetengah syarikat akan menyalahgunakan peluang ini yang boleh mencetus masalah sekali gus memaksa kerajaan untuk menamatkan program itu.”

Beliau berkata jika itu berlaku, ia akan “mengheret PKS” kerana pengambilan pekerja asing akan menjadi lebih sukar.

“Saya harap kerajaan akan memberi perhatian kepada masalah yang berpotensi ini.”

Lim Ser Kwee, presiden Persekutuan Persatuan Peladang Sayuran Malaysia, berkata sejak kerajaan memudahkan pengambilan pekerja asing, pemilik ladang berkata lebih 50% keperluan tenaga kerja sudah dipenuhi.

“Bagaimanapun, kami masih mencadangkan Kementerian Sumber Manusia mempertimbangkan supaya pengambilan pekerja asing ini disediakan secara dalam talian.”

Beliau berkata ia akan menjadi cara yang lebih mudah untuk membuat permohonan.

Salah satu masalah permohonan dalam talian yang akan dihapuskan adalah keperluan untuk membuat beberapa kunjungan ke kementerian atau jabatan berkaitan jika permohonan tidak mempunyai dokumen yang diperlukan.

“Jika dalam talian, apakah dokumen yang diperlukan akan dinyatakan dalam permohonan dan semua majikan perlu lakukan adalah melalui senarai semak.”

Kelonggaran syarat pengambilan bertujuan untuk menangani masalah kekurangan pekerja di negara ini.

Pelan itu yang dilaksanakan pada 17 Januari lalu, kini meliputi sektor pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran sahaja) dan subsektor.

Di bawah langkah itu, majikan boleh mengambil pekerja asing dari 15 negara tanpa mematuhi syarat pekerjaan dan kuota.

Kelonggaran syarat pengambilan itu berakhir pada 31 Mac. – 25 Februari, 2023.

Iklan
Iklan