Iklan

Kedaulatan makanan bukan hanya hasil padi, kata aktivis pertanian

Mohd Farhan Darwis2 years ago28th Feb 2023Berita
Sawah padi
Aktivis melihat tumpuan kedaulatan makanan tidak sepatutnya diberikan pada beras sahaja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2023.
Iklan

KAJIAN dan pembangunan pertanian perlu ditingkatkan dengan melibatkan pelbagai jenis sektor tani bagi menjamin kedaulatan makanan, kata NGO pertanian.

Selain itu, infrastruktur pertanian dan bekalan benih yang mencukupi perlu disalurkan untuk menjamin pengeluaran stok makanan itu, kata aktivis ini.

Mereka beranggapan jaminan kedaulatan makanan bukan hanya melibatkan kadar tahap sara diri atau self sustainable level (SSL) pengeluaran beras tetapi juga hasil ternakan dan pertanian lain.

Pengerusi Badan Bertindak Pertanian Negara Mohd Faisal Idris memberitahu The Malaysian Insight, jaminan kedaulatan makanan tidak sepatutnya hanya tertumpu kepada pengeluaran beras.

“(Haiwan ternakan) kambing, contohnya langsung tidak disebut. Berapa juta belanjawan diperuntukkan untuk jaminan kedaulatan makanan?

“Segala duit ditumpu kepada padi, berapa banyak bantuan tunai yang diberikan (kepada pesawah)...itu bukan jaminan kedaulatan makanan, itu untuk SSL,” kata Faisal.

Beliau mengulas peruntukan RM5.39 bilion bagi keterjaminan makanan yang diumumkan minggu lalu bagi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Jumlah itu meningkat kira-kira 12% berbanding RM4.81 bilion yang diperuntukkan kepada kementerian itu dalam Belanjawan 2022.

Daripada jumlah itu, RM1.6 bilion berserta tambahan RM228 juta sumbangan tunai dan perkongsian 30% keuntungan bersih import beras daripada Bernas disalurkan kepada pesawah.

Ia bagi mencapai sasaran meningkat kadar SSL beras negara kepada 74% bagi 202, berbanding kadar 63% pada 2021 dan 73.80% pada sasaran 2022.

Tapi menurut Faisal tumpuan tidak sepatutnya diberikan pada beras sahaja.

“Bila sebut jaminan kedaulatan makanan mereka ingat (kerajaan) hanya tahu padi sahaja. Sedangkan padi dan beras bukan komoditi yang susah sangat pun untuk kita dapatkan.

“Kita boleh dapatkan daripada negara jiran kita atau kita boleh buka ladang padi di luar negara,” kata Faisal.

Beliau kecewa kerana Belanjawan 2023 tidak menyatakan secara terperinci program jaminan kedaulatan makanan negara.

“Jaminan kedaulatan makanan memerlukan R&D (kajian dan pembangunan).

“(Jika) beras kurang contohnya, apa cara yang ada. Cari alternatif, macam mana nak buat? Kena buat kajianlah… Inilah masalahnya (kurang R&D),” katanya.

Faisal mempersoalkan hasil R&D yang dijalankan agensi di bawah kementerian walaupun peruntukan yang besar disediakan setiap tahun.

Sebanyak RM3.775 juta diperuntukkan untuk belanjawan mengurus manakala RM1.619 juta peruntukan bagi pembangunan dari keseluruhan RM5.39 bilion belanjawan kementerian itu.

Untuk bahagian kedaulatan makanan pula, peruntukan sebanyak RM100 juta disediakan untuk kementerian.

“Ada jabatan yang tak perlu diberi belanja pembangunan. Apa pembangunan yang mereka buat, sedangkan ada yang hanya menjadi orang tengah, menjual produk makanan,” katanya.

Bantuan khusus bagi pesawah itu pula disambut baik badan seperti Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) yang menganggapnya sebagai tanda keprihatinan kerajaan.

Pengerusinya Mohd Fuad Yaakob gembira kerana kebanyakan pesawah padi dapat menjangka menerima bantuan berjumlah sekitar RM850 setiap orang semusim.

“Kerajaan teruskan pemberian dan segala subsidi untuk petani dikekalkan kemudian itu sumbangan berehat tunggu tuai RM600 semusim, sumbangan Bernas RM 250.

“Alhamdulillah dengan kekangan ekonomi sekarang perdana menteri dapat juga beri sumbangan kepada golongan B40 seperti kami petani. Ini keprihatinan kerajaan perpaduan,” katanya

Namun Fuad tetap mengingatkan kerajaan untuk membangunkan infrastruktur seperti saliran dan pengairan tali air di sawah selain membekal benih berkualiti.

Langkah itu perlu bagi menjamin pengeluaran hasil maksimum sekali gus membantu jaminan kedaulatan makanan negara dapat dicapai.

“Infrastruktur cukup, benih terbaik, itu semua jaminan. Kalau tak elok, tak sempurna, kita bercakap soal kedaulatan makanan tidak ke mana.

“Macam nak sembahyang tapi tiada tempat sembahyang dan air untuk berwuduk, macam mana nak sempurna,” katanya.

Sehubungan itu katanya kajian dan penyelidikan amat penting bagi membolehkan sasaran jaminan kedaulatan makanan boleh dicapai.

“Masalah sebenar kedaulatan jaminan makanan adalah penyediaan infrastruktur dan mengenal pasti apa masalah yang berlaku sehingga kita tidak boleh tingkatkan hasil.

“Oleh itu kita kena cari jalan, buat kajian. Kena adakan satu plot sawah yang kita boleh buat contoh dan boleh diikuti pesawah. Kalau tidak macam mana nak buat kajian?,” katanya lagi. – 28 Februari, 2023.

Iklan
Iklan