Petani berang larangan trak sayur masuk Cameron Highlands hujung minggu
Iklan
CADANGAN melarang kenderaan berat mengangkut sayur melalui kawasan sempit dan sesak di Cameron Highland pada hujung minggu yang dibuat oleh Jabatan Kerja Raya Pahang membuatkan petani berang.
Bimbang cadangan itu dilaksanakan dalam masa terdekat, petani bangkit mendapatkan bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri Tanah Rata Ho Chi Yang bagi mewakili mereka membangkitkan bantahan itu kepada Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi supaya idea tersebut dibatalkan.
Bercakap kepada The Malaysian Insight Ho berkata beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Alexander berhubung isu tersebut dan menyampaikan 40 surat bantahan daripada petani serta pemegang taruh yang lain di Cameron Highlands.
“Surat itu mengandungi alasan kenapa mereka tidak setuju dengan larangan itu.
“Secara asasnya petani cuba bagi menteri faham yang sayur ini mudah rosak.
“Selepas dituai, sayur mesti dihantar ke pasar sesegera mungkin bagi menjamin kesegaran sayur-sayuran tersebut,” katanya.
JKR Pahang sebelum ini mencadangkan trak dan kenderan mengangkut sayur dilarang menggunakan sebahagian jalan FT59 Tapah-Cameron Highlands mulai 10 pagi hingga 3 petang pada hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah bagi mengelakkan kesesakan di kawasan tarikan pelancong itu.
Menurut Ho, Alexander masih belum memberi sebarang maklum balas berkait permohonan petani itu ketika bertemu sebelum ini namun katanya menteri itu memberitahu akan membincangkan isu tersebut dengan jabatan berkaitan.
Terdapat kira-kira 3,000 petani sayur di Cameron Highlands.
Tambah Ho persediaan pengangkutan sudah pun rumit dan jika keputusan larangan itu dilaksanakan ia akan memberi kesan kepada harga sayur-sayuran di pasaran.
“Tiada lagi sayur segar pada hujung minggu atau pada awal minggu kerana tiada penghantaran.
“Untuk jangka masa panjang, kekurangan sayur pada hari-hari berkenaan akan menyebabkan harga sayur dari tanah tinggi melambung,” katanya.
Kata Ho, beliau tidak memahami alasan JKR Pahang tidak mengikuti proses yang betul sebelum mengemukakan cadangan tersebut.
Katanya, perlu ada perancangan jangka panjang yang strategik untuk rangkaian jalan di tanah tinggi bagi memenuhi keperluan petani dan industri pelancongan.
“Polisi terbaik adalah perancangan trafik yang bagus,” katanya.
Cameron Highlands terkenal sebagai destinasi pelancongan yang menarik ribuan pelancong sama ada tempatan mahu pun luar negara pada setiap tahun.
Peningkatan angka pelancong memasuki kawasan itu dengan sedikit sahaja penambahbaikan jalan sejak bertahun dulu menyebabkan trafik di kawasan itu terlalu sesak. – 28 Februari, 2023.