Mahfuz umum sertai Amanah
Iklan
AHLI Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar hari ini mengumumkan keputusannya untuk menyertai parti serpihan PAS, Amanah selepas 45 hari keluar dari parti Islam itu.
Mahfuz yang pernah bersama PAS selama 34 tahun berkata berkata beliau sudah bersedia untuk membawa perubahan bersama Pakatan Harapan (PH).
“Saya kini mengumumkan tamatnya sebagai ahli politik bebas tanpa parti.
“Saya umumkan untuk sertai Parti Amanah Negara dan putuskan untuk bersama dengan rakan-rakan PH untuk bawa perubahan di Malaysia,” katanya yang menambah, penyertaannya berkuatkuasa hari ini.
Beliau berkata demikian ketika jamuan makan tengah hari bersama media dan pemimpin PH di bangunan Parlimen hari ini.
Turut mengumumkan penyertaan dalam Amanah hari ini adalah bekas AJK PAS Pusat Dr Rosli Yaakop yang juga bekas pengarah urusan akhbar lidah rasmi PAS, Harakah.
Dr Rosli mengumumkan perkara itu dalam sidang media sama yang turut dihadiri pemimpin tertinggi Amanah, termasuk presiden parti Mohamad Sabu, timbalan presiden Salahuddin Ayub, naib presiden Mujahid Yusof Rawa dan ketua pengarah pilihan raya Hatta Ramli, dan Salahuddin Ayub.
Mahfuz dianggap sebagai antara yang terakhir dalam kalangan pemimpin progresif dalm PAS serta ahli yang mula meninggalkan parti pada 2015 selepas berlaku pertikaian dalaman.
Semasa masih di dalam PAS, Mahfuz meneruskan usaha melobi agar parti Islam itu bekerjasama PH.
Namun pada 31 Disember lalu beliau mengumumkan keluar daripada PAS kerana tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan parti dan juga takanan dari penyokong akar umbi parti Islam itu.
Mahfuz sebelum ini dijangka akan menyertai parti Bersatu kerana sering dilihat menyertai program parti tersebut sejak 2016 dan secara terbuka menyokong timbalan presiden Bersatu dan bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir.
Mahfuz turut menyokong Mukhriz ketika beliau digugurkan sebagai menteri besar Kedah di bawah kerajaan negeri sekarang pada 2014.
Pada November, seorang lagi pemimpin pro-PH Kedah, Amiruddin Hamzah meninggalkan PAS dan menyertai Bersatu.
Amiruddin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Anak Bukit berkata, beliau memutuskan untuk meninggalkan PAS selepas parti itu berkeras menolak kerjasama dengan PH. – 14 Mac, 2018