Iklan

Belum pasti tanding kerusi mana PRU14, kata Mahfuz

Yasmin Ramlan7 years ago15th Mar 2018Berita
Pakatan harapan mahfuz omar 120817 tmiseth 01
Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar berkata mahu bersama dalam perjuangan PH memenangi PRU14 dan menyertai Amanah kerana parti itu paling banyak berkorban. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2018.
Iklan

AHLI Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar belum memutuskan untuk bertanding di mana-mana kerusi pada pilihan raya umum (PRU) nanti selepas hari ini mengumumkan penyertaannya ke Amanah.

Mahfuz sebaliknya berkata tujuan beliau menyertai perjuangan Pakatan Harapan (PH) adalah untuk membantu menambahkan usaha memenangkan pakatan pembangkang itu pada PRU14.

Pendirian saya bukan untuk jadi calon.

“Untuk pengetahuan, mana-mana parti yang peruntukan kerusi (parti dalam PH) sudah sediakan calon masing-masing,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan penyertaannya, hari ini.

Beliau sebelum ini dijangkakan akan menyertai parti Bersatu berikutan kerap hadir pada program parti itu dan secara terbuka menyokong timbalan presiden Bersatu dan bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir.

“Kenapa tak Bersatu? Saya fikir Amanah kerana apa yang dinyatakan ayahanda Tun Mahathir.

“Apa yang disebutnya, Amanah adalah parti yang amat banyak berkorban dalam menjayakan pembahagian kerusi di peringkat semenanjung.

“Jadi wajar saya bersama parti yang banyak berkorban, perjuangan untuk rakyat,” katanya.

Mahfuz dianggap sebagai antara yang terakhir dalam kalangan pemimpin PAS progresif dan ahli yang meninggalkan parti pada 2015 selepas pertikaian dalaman.

Bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu bersama ahli Parlimen lain meninggalkan parti itu pada 2015 dan menubuhkan Amanah.

Amanah juga merupakan salah satu daripada parti dalam pakatan pembangkang termasuk PKR, DAP dan Bersatu. – 14 Mac, 2018.

Iklan
Iklan