Iklan

BN Selangor mahu rebut kerusi Perikatan

Mohd Farhan Darwis2 years ago6th Mar 2023Berita
Permatang pauh byelection barisan nasional flag 20150428 tmihasnoor 01
Kata BN Selangor masih belum ada rundingan dengan PH berkait pembahagian kerusi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2023.
Iklan

PEMIMPIN Barisan Nasional (BN) Selangor tetap mahu merundingkan untuk mempertahankan lima kerusi negeri yang dikuasainya waktu ini dalam pilihan raya negeri (PRN) kelak.

Pemimpin akar umbi ini memberitahu The Malaysian Insight, mereka juga mahu merundingkan dengan Pakatan Harapan (PH) agar dapat merebut kerusi dimenangi PN dalam pilihan raya umum 2018.

Bendahari Umno Selangor Kamaruzzaman Johari berkata ia antara perkara yang dapat diusahakan bersama gabungan PH dalam gerak kerja menuju PRN yang perlu diadakan tahun ini.

Ketua Bahagian Umno Kota Raja itu bagaimanapun mengakui kedua-dua gabungan masih belum mengadakan sebarang perbincangan berkaitan pembahagian kerusi dan gerak kerja pilihan raya.

“Setakat ini kita akan bergerak dalam komponen BN jadi belum ada lagi gerak kerja bersama gabungan PH, belum ada lagi pun mesyuarat tentang pembahagian kerusi.

“Buat masa ini kita bekerja dalam konteks gabungan BN. Memang kita akan bekerjasama dengan PH cuma pergerakan jentera PRN kita belum dijalin gabung dalam satu pasukan yang sama.

“Belum ada lagi pun mesyuarat dari segi tindakan jentera dan sebagainya,” kata Kamaruzzaman kepada The Malaysian Insight.

BN pada waktu ini menguasai kerusi Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Sungai Burung dan Semenyih yang tidak dipertandingkan dalam PRU15.

BN tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen di Selangor dalam PRU yang berlangsung pada November lalu.

Kamaruzzaman berkata BN tidak menjangkakan dapat bertanding banyak kerusi di Selangor memandangkan PH menjadi penyandang terbanyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Namun segalanya terletak kepada keputusan perbincangan kepimpinan tertinggi BN dan PH, katanya.

“Tidak lama lagi pucuk pimpinan akan berbincang. Kita pun tak jangka bertanding banyak sangat kerusi. Di Selangor banyak penyandang daripada PH, mereka menang PRU14.

“Takkan nak bagi kerusi pada kita. Yang kita dah pasti akan mempertahan lima yang ada.

“Mungkin (kalau ada tambahan) kerusi yang PH belum menang dulu, atau kerusi daripada PN. Kemudian dibahagi dan dibincangkan dalam parti gabungan,” katanya.

Presiden Umno yang juga pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi pada pertengahan Januari berkata rundingan untuk PRN akan melibatkan bilangan kerusi yang akan diberikan kepada BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2023.

Ketua Umno Bahagian Kuala Selangor Jahaya Ibrahim juga berkata BN akan bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN akan datang.

Namun, tiada butiran terperinci berhubung bentuk kerjasama tersebut memandangkan belum ada pertemuan antara dua gabungan itu.

“Yang kita difahamkan akan bekerjasama dengan PH namun pucuk pimpinan akan putuskan (mengenai kerusi dan jentera),” katanya.

Pengerusi Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin diumumkan sebagai wakil parti untuk meneruskan rundingan bersama PH bagi usaha itu.

Presiden Umno yang juga pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi pada pertengahan Januari berkata rundingan juga akan melibatkan bilangan kerusi yang akan diberikan kepada BN.

Hasrat itu timbul sewaktu pemimpin parti komponen PH membayang tidak akan memberi jalan mudah berhubung rundingan bersama BN dalam PRN akan datang.

DAP Selangor bertegas untuk bertanding di kesemua 16 kerusi dimenangi parti itu dalam PRU14 dan juga Selat Kelang serta Semenyih, dua kerusi yang kini dikawal komponen PN, Bersatu.

Pendirian itu dinyatakan Naib Pengerusi DAP Selangor Ng Suee Lim yang dilaporkan turut mahu merampas semula Teratai, kerusi diwakili wakil rakyat parti itu yang kini lompat ke Warisan.

Ditanya sama ada DAP sedia menyerahkan kerusi kepada BN pada PRN, Ng dilaporkan berkata perkara itu tertakluk kepada perbincangan dan mengakui segala perkara mungkin berlaku.

Namun kerusi itu tidak dapat diserahkan kepada BN demi prinsip parti dan PKR dan Amanah juga sedemikian, katanya.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Pusat Amanah, Sany Hamzan pula dilaporkan berkata PH tidak akan memberi laluan kepada BN di semua 40 kerusi dimenangi mereka pada 2018.

Sebaliknya, rundingan dengan BN hanya melibatkan enam kerusi yang dimenangi PN, katanya.

Sekitar tempoh sama, Pengerusi PH Selangor Amirudin Shari dilaporkan berkata gabungan PH dan BN mampu menang di 53 daripada 56 kerusi DUN Selangor.

Pandangan itu diakui Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang berkata kejayaan itu berpotensi berlaku jika kedua-dua PH dan BN bergabung dalam PRN.

Rafizi berkata, jumlah itu diperoleh berdasarkan dapatan awal menerusi keputusan PRU15 lepas dengan 40 kerusi DUN dibolot PH. – 6 Mac, 2023.

Iklan
Iklan