Iklan

Pentadbir masjid Terengganu masih belum jelas larangan Maidam

Diyana Ibrahim2 years ago6th Mar 2023Berita
49937293646 2e2c9c27fa b
Pentadbir masjid dan surau di Terengganu masih belum menerima surat daripada Maidam mengenai larangan ahli politik berceramah di masjid. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2023.
Iklan

PENTADBIR masjid dan surau di Terengganu mendakwa masih tidak jelas dengan larangan ke atas wakil rakyat dan pemimpin politik dari menyampaikan kuliah agama di rumah ibadat itu.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, surat arahan rasmi dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berhubung perkara itu masih belum diterima.

Seorang ahli jawatankuasa masjid di Kuala Terengganu yang hanya mahu dikenali sebagai Awang berkata larangan untuk tidak berpolitik dalam masjid atau surau itu juga bukan perkara baharu.

“Kita tidak jelas apa maksud Maidam itu. Sebab kalau ikutkan larangan berpolitik dalam masjid atau surau itu benda lama bukannya perkara baharu, tapi ia mungkin dibangkitkan balik.

“Tapi macam mana pun setakat ini kita masih tidak menerima surat rasmi, pekeliling mengenai arahan itu.

“Jadi kita sedang tunggulah surat dari Maidam supaya kita lebih jelas,” katanya yang enggan membenarkan nama penuhnya disiarkan kerana bimbang mendapat kritikan.

Mengulas lanjut Awang bersetuju bahawa larangan itu mungkin timbul kerana sesetengah masjid dan surau sering menjemput pengkuliah atau penceramah yang menyokong parti tertentu.

Beliau berkata, perkara itu mungkin menyebabkan mereka dilabelkan sebagai penceramah agama berunsurkan politik.

Sebab itulah jawatankuasa masjid beliau memastikan setiap kuliah agama di rumah ibadat itu disiarkan secara langsung menerusi pelantar media sosial seperti Facebook.

“Jadi bila buat secara langsung memang orang boleh tengok setiap ceramah masjid kita ini takkan ada unsur politik.

“Kita bawa cerita di zaman Rasulullah sahaja, apa yang dilarang dan apa yang disuruh dalam agama,” katanya.

Awang seterusnya berkata, wakil rakyat sepatutnya dibenarkan memberi ceramah agama selagi tidak menyentuh soal politik.

“Sebagai contoh dia yang berhormat di kawasan tersebut nak bawa satu ceramah berkaitan Nuzul Al-Quran.

“Tak ada kena mengena pun dengan politik tak ada pula kata berkenaan pilih pemimpin tertentu atau ada pemimpin bagus atau tidak.

“Biasanya hanya berkaitan isu agama sahaja. Jadi takkanlah kita langsung tak benarkan,” katanya.

Pegawai masjid dan surau di Terengganu tidak mahu larangan itu menyebabkan orang ramai menjauhkan diri dari masjid. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2023.

Mengulas larangan ke atas wakil rakyat dari menjadi imam atau khatib, Awang berkata amalan itu memang tidak dibenarkan kerana wakil rakyat tidak ada tauliah untuk memimpin ibadah tersebut.

Bagaimanapun beliau mengharapkan arahan itu perlu diperhalusi semula terutama yang melibatkan jawatan imam atau bilal.

“Kita tak naklah sebab hanya ada segelintir yang dilarang jadi semua pun turut dilarang.

“Maksud saya imam dan bilal mungkin mereka pegang jawatan dalam politik atau pro kepada parti tertentu tapi ditafsirkan mereka main politik sedangkan tidak politik,” katanya.

Jelasnya mereka tidak mahu larangan itu menyebabkan orang ramai menjauhkan diri dari masjid.

“Yang main politik cuma yang jadi calon sahaja, tapi imam dan bilal mereka inilah orang mengimarahkan masjid dan surau.

“Kita tak nak lah sampai satu masa masjid atau surau akan sunyi tak ada kuliah penyampaian kerana terlalu banyak kekangan jadi orang pun takut,” katanya.

Imam Masjid Kristal Wan Mohd Ridhwan Wan Azam berkata beliau tidak dapat mengulas lebih lanjut arahan itu kerana masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada Maidam.

“Kita belum terima apa-apa surat dari Maidam, jadi perincian itu saya tak ada lagi sebab kita pun masih kurang jelas dengan arahan itu,” katanya.

Beliau berkata Maidam biasanya akan memanggil imam atau bilal bagi masjid bawah pentadbiran kerajaan negeri untuk menerangkan sebarang arahan baharu.

Wan Mohd Ridhwan juga memberi jaminan masjid tersebut hanya menjemput penceramah dari kalangan wakil rakyat yang sememangnya bertauliah.

“Biasanya kita akan dipanggil dulu, mungkin dalam proses. Tapi sebelum ini sebab kita masjid yang di bawah kerajaan negeri setiap penceramah kita jemput memang ada tauliah.

“Dan untuk program melibatkan wakil rakyat atau exco itu pun kerana mereka juga ada tauliah kerana sebelum ini mereka memang penceramah,” katanya.

Masjid dan surau di Terengganu kini menjadi perhatian selepas PAS secara terbuka membayangkan akan melanggar ketetapan dikeluarkan Maidam.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang semalam menyatakan pemimpin parti itu akan tetap menyampaikan kuliah agama di rumah ibadat seperti biasa.

Pemimpin PAS Abdul Hadi Awang dilaporkan meneruskan kuliah paginya seperti biasa pada Jumaat di masjid Rusila di Marang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2023.

Hadi menegaskan, amalan itu tidak menjadi kesalahan kerana menurutnya politik tidak boleh dipisahkan dengan agama.

“Kita akan terus kuliah seperti biasa. Kita kena sedar, kita tak boleh pisahkan politik dan agama sedangkan nabi pun cakap politik dalam khutbah.

“Kita bercakap soal Islam dan Islam itu ada politiknya, politik Islam yang wajib kita cakap benda tak betul kita kena cakap (tegur) tak kiralah politik ke ekonomi.

“Tapi kalau salah, mesti wajib orang Islam tegur,” katanya kepada pemberita malam tadi di Marang, Terengganu.

Mengulas lanjut, Hadi berkata ini bukan pertama kali PAS berdepan dengan larangan tersebut.

Kata ahli Parlimen Marang itu, larangan yang sama pernah dikeluarkan di negeri itu sekitar 1960-an ketika BN menguasai Terengganu.

“Itu cuma ulangi arahan lama, sejak tahun 60-an lagi, kami dah hadapi dulu, PAS dah biasa dengan larangan tersebut,” katanya.

Hadi juga dilaporkan meneruskan kuliah paginya seperti biasa pada Jumaat lepas di masjid Rusila di Marang selepas larangan dikeluarkan Maidam.

Arahan dikeluarkan Yang Dipertua Maidam Shaikh Harun Shaikh Ismail Khamis itu melarang ceramah melibatkan wakil rakyat, ahli Parlimen dan senator di masjid.

Wakil rakyat berkenaan dilarang bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat, yang turut dikuatkuasa ke atas semua pemimpin dan aktivis parti, katanya dalam satu kenyataan media.

Tambahnya, pengecualian bagaimanapun dibuat ke atas pemegang tauliah mengajar atau dengan kebenaran Maidam.

Tegasnya, ketetapan itu bagi melaksana perintah Sultan Mizan Zainal Abidin yang dukacita kerana terdapat pihak mencemar kesucian masjid dengan menyampaikan ceramah berunsur politik.

Selain itu, semua pentadbir masjid dan surau perlu memastikan penceramah, pengkuliah, tenaga pengajar serta khatib solat Jumaat jemputan mempunyai tauliah atau kelulusan dikeluarkan Maidam. – 6 Mac, 2023.

Iklan
Iklan