Hanya Jailani sanggup pertahan PM dalam isu 1MDB, kata PKR
Iklan
PKR meneruskan tekanan kepada Najib Razak untuk menjelaskan mengenai laporan media antarabangsa yang mengaitkan perdana menteri itu dengan isu penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengarah Strategi PKR Sim Teze Tzin berkata, Najib yang juga menteri kewangan perlu menjawab tuduhan itu sendiri bagi membersihkan namanya kerana tiada pemimpin BN yang sanggup berbuat demikian.
Pengarah Strategi Pusat PKR Sim Tze Tzin berkata, setakat ini hanya Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Jailani Johari yang tampil mempertahan Najib dengan menyifatkan laporan tersebut sebagai “berita palsu.”
“Saya agak hairan dan bingung, kenapa tiada sebarang pemimpin kerajaan yang keluar mempertahankan perdana menteri dan menjelaskan isu ini kepada rakyat?
“Adakah mereka juga terpengaruh dengan berita ini? soalnya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Ahad lalu, Jailani mendakwa laporan media asing mengenai 1MDB adalah berita palsu yang mencemarkan nama baik Najib.
Beliau turut menamakan Wall Street Journal, New York Times, The Economist, Australian Broadcasting Corporation (ABC) dan MSNBC yang menurutnya menyemarakkan lagi isu berkenaan.
Kenyataan Jailani itu merujuk kepada laporan media berkenaan berhubung rampasan kapal layar mewah milik ahli perniagaan Jho Low oleh penyiasat Amerika Syarikat.
Kapal layar bernama Equanimity itu dikaitkan dengan dakwaan kecurian dan penyelewengan dana 1MDB, syarikat pelaburan strategik negara yang dicetuskan Najib.
Mengulas lanjut, Sim berkata jawapan Najib sangat penting kerana kes tersebut menjadi beban kepada pemimpin BN yang perlu menjelaskannya ketka kempen Pilihan Raya Umum ke-14..
“Kita tidak boleh biarkan nama baik ketua kerajaan dicemari dengan pelbagai tuduhan. Saya menyeru perdana menteri membersihkan nama beliau sebelum membubarkan Parlimen.
“Beliau harus mengetuai BN menghadapi pilihan raya dengan nama yang baik. Jika tidak, calon BN terpaksa menjawab semua tuduhan tersebut semasa kempen pilihan raya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Biro Strategi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan pula berkata BN tidak mengambil kisah untuk menyelesaikan masalah rakyat.
Katanya, pemimpin BN hanya akan menolak apa saja penemuan oleh mana-mana badan bebas apabila terdapat isu yang menimbulkan kebimbangan rakyat.
Beliau mengambil contoh sikap Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid mengambil remeh laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) berhubung masalah nutrisi di kalangan penghuni rumah kos rendah.
“Sikap Mahdzir itu adalah tipikal bagaimana kerajaan pimpinan Umno bertindak apabila ada kajian yang mengenalpasti masalah yang dihadapi rakyat.
“Mereka hanya mampu menafikan sahaja penemuan penyelidikan bebas oleh badan antarabangsa Unicef. Alasan beliau adalah dangkal, iaitu beliau tidak menerima laporan daripada guru,” katanya. – 15 Mac, 2018.