Apung harga ayam, telur boleh cetus kenaikan harga, peniaga beri amaran
Iklan
CADANGAN Putrajaya untuk mengapungkan harga ayam dan telur selepas Jun ini hanya akan menyebabkan kenaikan harga makanan, demikian amaran peniaga.
Menurut mereka keputusan itu tidak akan menyelesaikan masalah penawaran dan permintaan di negara ini.
Bulan lalu, kementerian pertanian dan keterjaminan makanan dilaporkan menjangka harga ayam dan telur diapungkan selepas Jun ini dalam usaha memastikan masalah kekurangan bekalan makanan itu dapat diatasi.
Ketua Unit Aduan Gabungan Persatuan Penjaja Selangor dan Kuala Lumpur Boon Kok Choon memberitahu The Malaysian Insight langkah itu hanya akan menyebabkan harga makanan meningkat jika dibiarkan pasaran yang menentukannya.
“Pada pandangan saya apungan harga ini memang tidak boleh selesaikan masalah (bekalan) tapi akan bawa beban kepada peniaga dan pengguna.
“Kerajaan perlu cari dasar untuk selesaikan masalah bukannya campak (apungan harga) kepada rakyat. Ia akan makin teruk.
“Telur dan ayam merupakan bahan utama yang digunakan peniaga dalam kuantiti yang besar dan membenarkan apungan harga sudah tentu bakal meningkatkan harga makanan.
“Setakat ini peniaga masih cuba menyerap kenaikan harga tapi jika harga telur dan ayam tidak dikawal, peniga tidak lagi boleh serapnya dan akan naikkan harga (makanan mereka).
“Untuk kenaikan kami masih perlu teliti trend keseluruhan selepas Jun,” katanya.
Di Pulau Pinang, Vinah Yee Yook Pengerusi Persatuan Restoran dan Kedai Teh Koo Soo Kwong Choon Tong Chee berkata menu industri restoran hanya akan dikemas kini setiap enam bulan atau setahun sekali untuk semakan harga.
“Jadi jika harga ayam dan telur turun naik, memang akan menyusahkan kami kerana kami tidak boleh bekalkan produk yang mahal setiap hari jadi kami akan jual pada harga yang tinggi dan sudah tentu pelanggan akan marah kepada kami.
“Ada juga pakej jamuan perkahwinan. Pelanggan mungkin dah tempah setahun awal. Jadi apabila kita nak tempah bahan, jika harga ayam melambung tinggi kita tak boleh ubah sebab harga (pakej) sudah ditetapkan,” katanya.
Beliau melihat langkah apungan harga ini perlu diubah oleh kerajaan setiap tiga hingga enam bulan sekali supaya industri katering boleh menyesesuaikan harga dengan perubahan harga tersebut.
“Sekurang-kurangnya tetapkan tarikh akhir sebelum ubah supaya kami bersedia secara mental dan mungkin boleh tahu bahan mana yang akan naik harga berikutnya.
“Juga apabila kita buat menu, kita juga boleh sesuaikan yang sepatutnya seperti jika harga makanan ayam meningkat maka harga ayam pun akan naik dan industri akan kerjasama untuk kurangkan makanan lauk atau bahagian ayam,” katanya.
Tambahnya, jika apungan harga menyebabkan harga ayam dan telur melambung, menu di industri restoran juga perlu diubahsuai.
“Tapi tiada siapa nak takutkan pelanggan. Kita perlu buat keputusan akhir berdasarkan keadaan. Lihat langkah demi langkah,” katanya lagi.
Sementara itu pembuat biskut dan roti masih belum membuat keputusan untuk menaikkan harga selepas Jun ini susulan apungan harga bagi bahan utama iaitu telur.
Presiden Persatuan Pembuat Roti, Kek, Biskut, Gula-Gula, Mee Dan Kuay Teow Malaysia Lai Yee Kein berkata pihaknya akan meneliti perkara itu pada Jun.
“Keadaan pasaran sekarang teruk dan tiada siapa berani bertindak terburu-buru,” katanya.
Tambahnya, pengilang mungkin melihat bahagian telur yang digunakan untuk setiap produk sebelum memutuskan untuk pelarasan harga.
“Walaupun keuntungan sangat kecil, keadaan juga suram sekarang, kami tidak berani naikkan harga,” katanya. – 7 Mac, 2023.