Iklan

Ahli Parlimen DAP mahu pengarah JSJ digantung tugas

Melati A. Jalil7 years ago15th Mar 2018Berita
Ram karpal singh 060914 tminazirsufari 04
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Wan Ahmad Najmuddin perlu digantung tugas kerana melakukan kesalahan jenayah di Australia, kata Ram Karpal Singh – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2017.
Iklan

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Wan Ahmad Najmuddin perlu digantung tugas kerana melakukan kesalahan jenayah di Australia, kata seorang wakil rakyat DAP.

Ram Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) berkata alasan yang mengatakan Wan Ahmad naif tentang sistem undang-undang di Australia tidak boleh diterima. 

Ketua Polis Negara (KPN) Mohamad Fuzi Harun sebelum ini dilaporkan berkata bahawa Bukit Aman telah dimaklumkan mengenai akaun Wan Ahmad di Australia dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard telah menjalankan siasatan ke atas Wan Ahmad dan membersihkannya dari salah laku.
 
Mohd Fuzi hari ini berkata yang pengarah JSJ tersebut dibebaskan daripada sebarang kesalahan jenayah berkaitan wang yang dirampas dari akaun miliknya di Australia oleh polis negara itu.

Ram Karpal berkata Malaysia akan dilihat dangkal oleh masyarakat antarabangsa jika menerima alasan yang pengarah JSJ itu kononnya naif tentang sistem perundangan di Australia. 

“Saya ingin bertanya kepada peguam negara dan menteri di jabatan perdana menteri, mengapa dia tidak digantung tugas kerana jelas dia telah melakukan kesalahan jenayah di Australia,” katanya semasa sesi perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini. 

Wan Ahmad sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sususlan satu laporan yang dibuat terhadapnya berhubung rampasan sejumlah AS$320,000 (RM976,000) dari akaun banknya oleh pihak berkuasa Australia. 

Awal bulan ini, Sydney Morning Herald melaporkan yang Polis Persekutuan Australia merampas sejumlah wang, yang dipindahkan secara haram ke dalam akaun Wan Ahmad pada 2016. 

Bagaimanapun, Wan Ahmad Najmuddin tidak cuba menuntut semula wang tersebut.

“Mengapa dia amsih tidak digantung tugas? Dia adalah salah seorang pegawai polis paling kanan di negara ini. Kalau dia korup, apa perubahan yang kita ada?” kata Ramkarpal.

Fuzi hari ini berkata orang ramai serta media harus bersikap adil terhadap Wan Ahmad Najmuddin, sambil menambah masyarakat awam sudahpun menghukumnya  bersalah.

Fuzi dalam satu kenyataan pada 3 Mac berkata wang $320,000 (RM970,000) yang dirampas pihak berkuasa Australia kerana disyaki hasil pengubahan wang haram, adalah hasil penjualan rumahnya di Shah Alam bernilai RM700,000.

“Wang itu diberikan kepada rakan rapat untuk memasukkan wang tunai ke akaun banknya di Australia.

“Wan Ahmad sudah memberikan semua dokumen yang diperlukan untuk membuktikan sumber wang itu,” kata Fuzi dalam kenyataan berkenaan. 

Bagaimanapun, Fuzi enggan mengulas sama ada wang A$320,000 (RM985,000) yang dirampas dari akaun Wan Ahmad Najmuddin di Sydney akan dikembalikan kepadanya. – 15 Mac, 2018.

Iklan
Iklan