Iklan

Taktik kotor, pendakwaan terpilih tidak akan jejaskan kami, kata pemimpin Perikatan

Noel AchariamDiyana Ibrahim2 years ago11th Mar 2023Berita
Iklan

MENGGUNAKAN taktik kotor termasuk melakukan pendakwaan terpilih terhadap pemimpin Bersatu tidak akan menjejaskan peluang Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata pemimpin gabungan itu.

PN akan terus mengingatkan rakyat tentang salah laku kerajaan memerintah, termasuk cubaan untuk merosakkan reputasi PN, kata mereka.

Mereka mendakwa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) – sedang bekerja keras untuk memastikan pengundi Melayu tidak menyokong PN pada PRN akan datang.

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata PH dan BN hilang sebahagian besar sokongan orang Melayu sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Bagi mendapatkan sokongan, mereka (PH-BN) perlu batalkan Bersatu, PAS dan PN. Maka sebab itulah semua tuduhan (rasuah) ini berlaku di Parlimen, media dan saluran lain.

“Satu-satunya cara untuk mereka dapatkan sokongan pengundi ialah dengan cemarkan imej kami supaya pengundi tidak akan fikir yang PN ini bersih dan stabil (sebagai gabungan politik),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin didakwa atas tuduh pertuduhan salah guna kuasa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam, membabitkan nilai rasuah RM232.5 juta.

Beliau turut berdepan dua tuduhan tambahan pengubahan wang haram, di mana beliau didakwa menerima RM195 juta hasil daripada aktiviti haram.

Muhyiddin bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan dan mohon dibicarakan.

Sebelum ini, dua pemimpin Bersatu turut dikenakan pertuduhan rasuah, dengan beberapa yang lain disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sejak Anwar Ibrahim jadi perdana menteri, beliau melemparkan fitnah terhadap Bersatu dan PN.

“Pelbagai tuduhan liar dibuat kepada pemimpin Bersatu, tetapi tidak ada yang benar,” kata Wan Fayhsal.

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata satu-satunya cara untuk PH-BN dapatkan sokongan pengundi pada PRN ialah dengan cemarkan imej PN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2023.

Beliau mengakui taktik itu mungkin berpihak kepada PH dan BN pada PRN nanti.

“Tetapi sebagai parti politik kami ada strategi dan taktik dalam menghadapi PRN.

“Kami akan laksanakan strategi tertentu di kawasan tertentu untuk menepis sentiment yang tidak berpihak kepada kami.”

Katanya, sebahagian daripada pelan tindakan mereka ialah untuk mengingatkan pengundi tentang kerajaan pemerintah sekarang yang tidak konsisten dalam memenuhi janji, terutama manifesto pilihan raya.

“Ini termasuk percanggahan yang berlaku ketika kempen mereka berkenaan perubahan institusi, melantik mereka yang sedang berdepan kes di mahkamah dan pengasingan kuasa antara perdana menteri dan menteri kewangan.

“Semua isu ini perlu diingatkan kepada rakyat, terutama pengundi Selangor, betapa kerajaan hari ini hipokrit.”

Wan Fayhsal berkata beliau berharap Muhyiddin adalah sasaran terakhir kerajaan kerana ia mungkin memberi kesan kepada mereka ketika PRN nanti.

“Kalau tidak, pengundi mungkin boikot atau berikan undi simpati kepada kami.

“Jadi keadaan ini akan melonjakkan peluang untuk memperoleh lebih banyak kerusi pada PRN ini.

“Sudah tentu ia perlawanan yang sengit dan bukan laluan mudah, tetapi di pantai barat, yang penting adalah integrity dan kempen kami.

“Bila kami janjikan sesuatu, ia mestilah sesuatu yang boleh dilaksanakan, bukan dongeng.” – 11 Mac, 2023.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan