Iklan

Pawagam langgar peraturan tidak tayang Pulau, kata persatuan filem

Diyana Ibrahim2 years ago12th Mar 2023Berita
Pulai
Filem Pulau diharamkan di Terengganu atas alasan mengandungi adegan keterlaluan.– Gambar Youtube, 12 Mac, 2023.
Iklan

OPERATOR panggung wayang melanggar ketetapan apabila mengikut arahan kerajaan negeri Terengganu menyekat tayangan yang ditetapkan bawah Skim Wajib Tayang, kata pengusaha.

Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) menjelaskan, operator pawagam wajib menayangkan filem bawah skim itu selama 14 hari, tanpa mengira sama ada ia mendapat sambutan.

Setiausaha Kehormat PFM Zahrin Azis berkata Ia selaras dengan peruntukan peraturan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Skim Wajib Tayang) 2005 yang berkuat kuasa 23 Jun 2005.

“Di bawah Skim Wajib Tayang memang menjadi satu kesalahan sekiranya operator tidak menayangkan filem tersebut.

“Tapi setakat ini kita tidak nampak apa-apa tindakan atau (sama ada) Finas sudah berbincang dengan kerajaan negeri kerana tindakan tersebut,” katanya.

Tambahnya, operator sepatutnya dikenakan tindakan mengikut Akta Finas 1981 selain Akta Penapisan Filem 2002.

Sekatan itu dikesan apabila penerbit filem Pulau, Fred Chong berkata filemnya diharamkan di Terengganu atas alasan mengandungi adegan keterlaluan.

Penerbit filem itu berkata, pengharaman ke atas filem yang sudahpun ditayangkan di seluruh negara pada 9 Mac lepas akan memberi kerugian besar kepada mereka.

Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar pula enggan berganjak dan dilaporkan tidak akan mengubah keputusan biarpun kerajaan negeri bersedia bertemu dengan penerbit filem.

Ahmad Samsuri berkata filem tersebut diharamkan berdasarkan treler yang didakwa bertentangan dengan agama dan norma budaya masyarakat timur.

Treler filem itu didakwa lucah kerana memaparkan adegan watak wanitanya yang berbikini selain adegan intim antara pasangan kekasih.

LPF pula menjelaskan karya tersebut bukan filem porno dan treler yang dimuat naik ke media sosial tidak sama dengan filem yang dikemukakan untuk penapisan.

Treler filem Pulau yang memaparkan babak pelakon wanitanya berbikini mengundang perdebatan daripada pelbagai pihak khususnya di media sosial. – Gambar Facebook, 6 Februari 2023.

Mengulas lanjut, Zahrin bimbang filem lain dalam skim itu akan turut berdepan dengan nasib yang sama akibat percanggahan kuasa yang berlaku antara undang-undang sedia dengan kerajaan negeri.

Beliau berkata kerajaan negeri juga tidak berhak campur tangan atau menyekat mana-mana filem lulus Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Beliau menganggap sekatan oleh kerajaan Terengganu keterlaluan dan masih tidak melihat apa-apa tindakan dilakukan Perbadanan Kemajuan Filem Negara Malaysia (Finas).

“Apa yang jadi sekarang ini adalah percanggahan kuasa antara kerajaan pusat dan negeri dan ini sebenarnya bawa keburukan kepada industri perfilemen negara,” katanya.

Beliau berkata Finas sepatutnya menyelesaikan percanggan dan kekeliruaan peraturan tersebut dengan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri.

Mana-mana kerajaan negeri sepatutnya tahu menghormati undang-undang dan tidak campur tangan kerana ia hanya mengundang kekeliruaan dan membawa masalah besar dalam industri, katanya.

“Kita kena hormat undang-undang. Kita dah ada undang-undang lain berkaitan penerbitan filem dan ada penapisan filem jadi yang lain jangan campur tangan.

“Sebab kalau pihak lain campur tangan jadi bagi kita pihak industri ini kita nak ikut undang-undang yang mana.

“Dan ia juga beri kesan yang menakutkan pelabur kerana bimbang akan rugi. Jadi memang susahlah untuk penerbit,” katanya.

Pandangan sama ditegaskan pengarah dan penulis skrip Al Jafree Md Yusof yang berkata filem yang sudahpun diluluskan LPF sepatutnya boleh ditayangkan di mana-mana sahaja di Malaysia.

Ini kerananya undang-undang penapisan filem itu sudahpun tertakluk bawah LPF dan ia menjadi garis panduan bagi penerbit dan pengarah filem selama ini.

“Sebab LPF ini adalah panduan kepada kita, untuk apa-apa sahaja filem. Filem saya sendiri saya hantar kepada LPF dan mendapat kelulusan untuk tontonan 18 tahun ke atas dan saya (terima).

“Sebab LPF itu merupakan panduan kepada penerbit filem jadi takkan kita nak ada tapisan untuk setiap negeri pula. Jadi saya tidak setuju keputusan itu.

“Kalau (Terengganu) tidak boleh terima LPF jadi tak tak tahulah keputusan siapa yang kita nak ikut. Maksudnya syarat LPF ini tidak membawa sebarang maknalah,” katanya.

Pengarah filem Mencari Rahmat itujuga bimbang kerajaan negeri akan menyalahgunakan kuasa mengharamkan apa-apa filem yang tidak disenangi mereka.

“Kira akan salah gunalah. Mereka tak suka saja mereka nak haram terutama kepada filem tempatan. Sudahlah industri filem tempatan kita dalam fasa membangun.

“Kalau tindakan macam ini terus menerus berlaku jadi macam mana filem tempatan ini nak berkembang dan bagaimana penonton nak tonton filem sendiri,” katanya.– 12 Mac, 2023.

Iklan
Iklan