Iklan

Siasat juga dana politik PKR, Umno, gesa Muhyiddin kepada SPRM

Mohd Farhan Darwis2 years ago12th Mar 2023Berita
Muhyiddin bersatu assembly 4th tmi 05
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mendakwa sebahagian besar parti politik yang pernah menjadi kerajaan sebelum ini menerima dana politik daripada ahli-ahli perniagaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 Mac 2023.
Iklan

PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat juga sumber kewangan PKR dan Umno sama seperti siasatan mereka ke atas Bersatu, selepas beliau didakwa di mahkamah berhubung kewangan partinya.

Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendakwa sebahagian besar parti politik yang pernah menjadi kerajaan sebelum ini menerima dana politik dan tidak seharusnya SPRM memberi perhatian hanya kepada Bersatu.

“Saya hendak cabar SPRM supaya siasatlah Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi. Mereka berdua adalah presiden PKR dan Umno, siasatlah dari mana punca pendapatan PKR dan Umno. 

“Tidakkah mereka juga menerima dana politik daripada ahli-ahli perniagaan?” kata Muhyiddin, ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di Kuala Lumpur, hari ini.

“Banyak laporan telah dibuat oleh ahli-ahli parti kita supaya SPRM menyiasat sumber dana parti-parti ini. 

“Tetapi yang disiasat hanyalah Bersatu, yang didakwa hanyalah saya sebagai presiden Bersatu.

“Parti lain dan presiden parti lain dikecualikan daripada siasatan dan pendakwaan, bukankah ini suatu bentuk pendakwaan politik yang terpilih?” kata Muhyiddin. – 12 Mac 2023. 

Iklan
Iklan