Iklan

Kempen Bersatu di PRN tidak terjejas, kata pemimpin parti

Mohd Farhan Darwis2 years ago13th Mar 2023Berita
Muhyiddin bersatu assembly 4th tmi 09
Pemimpin akar umbi Bersatu percaya persediaan pilihan raya negeri mereka tidak terjejas dengan pembekuan akaun parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Mac, 2023.
Iklan

KEMPEN pilihan raya Bersatu di enam negeri nanti tidak akan terjejas dengan tekanan demi tekanan yang parti itu hadapi sekarang termasuk akaun parti yang dibekukan susulan siasatan pihak berkuasa, kata pemimpin akar umbinya.

Mereka yakin Bersatu bersama PAS dan Gerakan dalam Perikatan Nasional (PN) akan mendapat sokongan ahli dan penyokongnya termasuk sumbangan kewangan untuk parti.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohd Rafiq Mohd Abdullah berkata, selain kutipan derma bagi membiayai kempen, beliau yakin calon yang dinamakan nanti juga tidak akan terlalu mengharapkan bantuan kewangan parti.

“Calon kita juga mungkin bersedia dengan kewangan sendiri, parti mungkin tak perlu menanggung calon yang bertanding.

“Jadi saya tak rasa calon rasa tergugat,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Rafiq yang juga ketua Bersatu Sungai Buloh berkata parti itu sedang mengumpulkan kembali bahan kempen PRU15 untuk diguna semula pada kempen pilihan raya negeri nanti.

Enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Terengganu, dan Negeri Sembilan dijangka membubarkan dewan undangan negeri masing-masing selepas pertengahan Jun.

“Kita dah minta calon yang bertanding PRU15 lalu untuk tuntut kembali wang deposit mereka dan kembalikan semula kepada parti supaya boleh digunakan untuk calon di tempat akan datang.

“Usaha juga sedang dibuat untuk kutip balik logistik seperti bendera parti di tempat yang selesai pilihan raya seperti Melaka, Johor, dan Pahang. Kita akan kumpul semula dan guna untuk kempen pilihan raya di enam negeri.

“Bendera yang sudah digunakan boleh guna balik… bendera tidak perlu beli baru. Duit tidak ada tetapi tak jadi masalah,” tambahnya.

Rafiq juga mengingatkan Bersatu nanti akan dibantu parti komponen PN.

Pemimpin Bersatu percaya Bersatu di peringkat bahagian masih ada sumber kewangan untuk membantu calon walaupun akaun parti disekat.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Mac, 2023.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Bersatu Terengganu Rosol Wahid pula berkata walaupun dana kempen Bersatu terhad kerana akaun parti sekarang dibekukan, parti akan tetap membantu calon melalui kutipan derma daripada penyokongnya.

“Pilihan raya perlukan banyak duit pun begitu bila dah masuk bertanding maka nak tak nak kena hadapi sebab ini perjuangan memastikan kestabilan negara, dan juga masalah rakyat.

“Pada kita, duit memang penting tapi bukan bermakna tanpa duit kita tak boleh buat apa-apa. Kita sudah mula gerakkan ‘crowd funding’ dan sambutan menggalakkan. 

“Ada juga yang derma barang kemas, untuk membantu ‘crowd funding’, ini permulaan bagus dan ia dilaksanakan PAS sejak dahulu,” katanya.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu yakin dengan bantuan tersebut Bersatu dapat mengharungi PRN tanpa masalah.

“PAS ada kaedah kutip derma. Ini cara untuk pastikan walaupun kita dikekang sedangkan (lawan) ada niat untuk mematikan kita tapi semangat penyokong kita tak luput malah, mereka lebih bersemangat.

“(Pada PRU15) setiap markas peti undi ada tabung derma. Ini pada saya tak pernah berlaku. Dulu nak bendera minta kita, t-shirt, payung pun… sekarang ini semua beli sendiri.

“Jadi saya tidak nampak keadaan sekarang melemahkan calon (untuk PRN),” katanya.

Dalam pada itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya Dr Afif Bahardin juga percaya Bersatu di peringkat bahagian masih ada sumber kewangan untuk membantu calon walaupun akaun parti disekat.

“Di peringkat bahagian seluruh negara (Bersatu) masih ada akaun masing-masing,” katanya.

Beliau juga yakin momentum sokongan pengundi kepada Bersatu dan PN pada PRU15 akan berterusan pada pilihan raya negeri nanti.

“Antara semua parti politik Bersatu paling terbuka berkenaan dana politik. Selain sumbangan orang ramai kita juga panggil audit akaun Bersatu. 

“Sekarang ada usaha kaitkan pendakwaan terhadap Muhyiddin disebabkan ada individu beri sumbangan, sedangkan kita tahu mereka juga turut beri sumbangan kepada parti lain.

“Bagi saya selagi dibuat secara telus tak beri masalah kepada Bersatu,” katanya.

Bersatu percaya momentum sokongan pengundi kepada Bersatu pada PRU15 akan berterusan pada pilihan raya negeri akan datang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Mac, 2023.

Sementara itu, penganalisis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali melihat tekanan dan cabaran yang dihadapi Bersatu akan mengganggu gerak kerja jentera parti dan sukar untuk PN meneruskan momentum mereka seperti PRU15 lalu.

“PN sekarang berhadapan banyak cabaran antaranya akaun parti Bersatu dibeku selepas SPRM membuka siasatan, perbelanjaan parti penting sebab jentera nak bergerak melaksanakan program memerlukan dana.

“Bila akaun parti dibeku banyak perkara tidak berjalan lancar, ada staff dibayar gaji bulanan, mereka perlu dibayar gaji, sudah pasti akan memberi cabaran getir kepada Bersatu,” katanya.

Tambahnya, PN juga sukar mengekalkan gerak kerja dan rentak seperti mana gelombang kempen mereka waktu berkempen dalam PRU sebelum ini.

“Tempo PN akan terganggu dengan perkara ini, sudah pasti mempengaruhi dan mengganggu rentak PN meneruskan gelombang hijau mereka yang mereka yakin boleh menang dalam PRN negeri,” kata Mazlan.

Pada Februari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan membekukan beberapa akaun milik parti Bersatu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, akaun terbabit dibekukan untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

Minggu lalu, Muhyiddin didakwa di mahkamah atas kesalahan empat tuduhan salah guna kuasa dan dua tuduhan mengubah wang haram berjumlah RM232.5 juta yang dikatakan berkaitan dengan program Jana Wibawa semasa beliau perdana menteri.

Muhyiddin dijangka didakwa sekali lagi di mahkamah hari ini untuk beberapa tuduhan tambahan. – 13 Mac, 2023.

Iklan
Iklan