Iklan

Perikatan fokus tawan Selangor, Negeri Sembilan, kata Muhyiddin

Mohd Farhan Darwis2 years ago12th Mar 2023Berita
Muhyiddin bersatu assembly 4th tmi 01
Bersatu akan memberi tumpuan untuk merampas Selangor dan Negeri Sembilan serta mengekalkan kuasa di Kedah, Kelantan dan Terengganu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 Mac, 2023.
Iklan

PERIKATAN Nasional (PN) memberikan tumpuan khusus untuk menawan Selangor dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang selain yakin mampu mengekalkan penguasaan di Kedah, Kelantan dan Terengganu, kata pengerusinya Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu berkata, partinya juga akan menjadi tunjang pentadbiran kerajaan di Selangor dan Negeri Sembilan manakala PAS kekal mentadbir tiga lagi negeri sekiranya gabungan itu berjaya menubuhkan kerajaan.

“Kita dah rundingkan dengan PAS dan parti lain (dalam PN), Kelantan, Terengganu, Kedah biarlah PAS… PAS dan PN di negeri ini kita jangka akan sapu bersih.

“Selangor dan Negeri Sembilan bila menang Bersatu pimpin dan bentuk menteri besar, jangan tanya siapa jadi menteri besar, dah dipersetujukan. 

“Pulau Pinang pula kita tengok siapa banyak kerusi menang dia jadi ketua menteri,” kata Muhyiddin.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian ketika ucapan penggulungan perhimpunan agung tahun Bersatu di Kuala Lumpur, hari ini.

Muhyiddin juga menyuarakan keyakinan untuk PN mengambil alih tampuk pemerintahan di Selangor. 

“Tiga negeri (Kedah, Kelantan, Terengganu) agak mungkin muktamad, tumpuan Selangor, ikut kiraan kasar agak kita boleh bentuk kerajaan di Selangor selepas PRN nanti,” katanya.

Bersatu sehubungan itu melantik Naib Presiden Radzi Jidin, sebagai penyelaras pilihan raya untuk negeri berkenaan dan dibantu Ketua Penerangan PN Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Selangor Abdul Rashid Asari.

PN juga katanya sudah menyediakan barisan kepimpinan negeri untuk negeri terbabit sebagai persediaan awal sekiranya berjaya menubuhkan kerajaan.

“Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin, PAS dan Gerakan, duduk bersama bila terbentuk kerajaan dan sudah tahu di mana kedudukan, berapa peratusan exco dalam PN. Persiapan itu kita mulakan sekarang.

“Bukan sombong, tapi menunjukkan iltizam kita. Ini sesuatu yang mungkin terjadi sebab perpaduan solidariti dan sokongan rakyat yang mahu kita kembali di negeri yang akan menghadapi PRN,” kata Muhyiddin.

Bagi rundingan agihan kerusi, Muhyiddin berkata, prinsip penyandang kekal bertanding mungkin diguna pakai dalam PRN akan datang dengan rundingan hanya melibatkan kerusi yang dimenangi pihak lawan.

“Kecuali persefahaman untuk ada pertukaran, kemudian kerusi tak dimiliki sesiapa kecuali Umno dan PKR itu kerusi akan runding siapa nak dapat kerusi akan diputuskan dalam perbincangan nanti,” katanya. – 12 Mac, 2023.

Iklan
Iklan