Iklan

Terengganu larang tayang Pulau, penerbit rugi RM100,000 empat hari pertama

Mohd Farhan Darwis2 years ago14th Mar 2023Berita
Pulau
Penerbit 'Pulau' merayu kerajaan Terengganu supaya tidak menggunakan filem itu sebagai alat politik menentang kerajaan persekutuan. – Gambar Facebook, 14 Mac 2023.
Iklan

PENERBIT filem “Pulau” Fred Chong mengaku rugi sehingga RM100,000 dalam tempoh empat hari pertama selepas kerajaan negeri Terengganu pimpinan PAS mengharamkan tayangan filem itu walaupun sudah mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan izin bawah Skim Wajib Tayang melalui Finas.

Pulau mula ditayangkan di seluruh negara termasuk Brunei pada Khamis lepas.

Fred bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight pihaknya tidak berhasrat pada masa ini untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Terengganu.

Beliau sebaliknya berharap pentadbiran Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar mendengar rayuan pihaknya seperti dalam surat yang dihantar sebelum ini dan dapat membatalkan larangan tersebut.

“Saya tidak bercadang untuk menyaman kerajaan negeri cuma saya tidak faham mengapa pembuat filem kecil seperti kami diletakkan dalam keadaan untuk menentang kerajaan negeri, sedangkan kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan apabila jelas undang-undang tidak dihormati,” katanya ketika dihubungi.

Jelas Chong, beliau sedar pihaknya tiada daya untuk mengubah keputusan kerajaan.

“Saya berharap Finas dan LPF akan membantu kami berunding dengan kerajaan negeri Terengganu untuk menarik balik larangan ke atas filem kami,” tambahnya.

Chong memberitahu setakat ini Pulau mendapat sambutan menggalakkan di seluruh Malaysia serta di Brunei yang juga menayangkannya serentak minggu lalu.

Sebuah pawagam di Alor Setar misalnya mengutip jualan tiket sekitar RM35,000 hingga RM40,000 sementara sebuah pawagam di Kuantan mengutip sekitar RM30,000 selepas empat hari pertama tayangan, katanya.

Jelasnya, kutipan di Kedah, serta Pahang yang lebih dekat dengan Terengganu, boleh jadi petunjuk kerugian yang dialaminya ekoran larangan tayang di negeri itu.

“Jumlah keseluruhan kerugian sepanjang empat hari di tiga panggung wayang di Terengganu disebabkan larangan tersebut dianggarkan antara RM50,000 hingga RM100,000, hasil daripada kutipan box office,” katanya.

Menurut Chong, fokusnya sekarang ialah untuk memastikan Pulau disambut baik di pasaran antarabangsa, antaranya di Singapura dan Indonesia. 

Pulau diluluskan untuk tayangan oleh LPF, agensi bawah Kementerian Dalam Negeri, dengan klasifikasi P13.

Ia juga mendapat kebenaran tayangan bawah Skim Wajib Tayang melalui Finas, agensi bawah Kementerian Komunikasi dan Digital.

Skim itu antara lain menetapkan sesebuah filem mesti ditayangkan di pawagam yang tertentu dalam tempoh 14 hari mengikut peraturan Finas.

Bagaimanapun, tiga pawagam di Terengganu tidak menayangkan Pulau selepas mendapat arahan larangan melalui sepucuk surat daripada kerajaan negeri.

Surat kepada Lotus Five Star Cinemas dan Paragon Sdn Bhd di Kuala Terengganu bertarikh 15 Februari sementara surat kepada TGV Cinemas Sdn Bhd di Kemaman bertarikh 9 Februari.

Terengganu membuat larangan itu tanpa menonton keseluruhan kandungan filem sebaliknya hanya berdasarkan treler yang beredar untuk promosi awal pada Januari lalu.

Chong berharap kerajaan Terengganu akan membatalkan larangan tayang ke atas Pulau, yang disifatkannya tidak mengikut undang-undang.

“Tiada undang-undang negeri yang mengatasi keputusan kerajaan persekutuan dalam hal ini.

“Tindakan larangan terhadap filem yang tidak pernah mereka tonton ini bertentangan dengan Perlembagaan,” katanya.

Jangan politikkan Pulau

Chong juga merayu kerajaan Terengganu supaya tidak menggunakan Pulau sebagai alat politik untuk sebuah negeri bawah pembangkang menentang kerajaan persekutuan.

“Kami hanya pembuat filem kecil yang tidak melanggar undang-undang, jadi mengapa mangsakan kami,” tanyanya.

Pulau yang dilapor menelan kos produksi sekitar RM4 juta terpalit kontroversi selepas treler yang dimuat naik di YouTube didakwa mencemar budaya dan memaparkan adegan mencolok mata.

Pada 19 Januari, LPF menjelaskan Pulau adalah filem seram dan bukan filem porno.

Semalam, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) meminta kerajaan menjelaskan pihak mana yang lebih berkuasa dalam soal kebenaran tayangan filem, sama ada kerajaan persekutuan atau negeri.

Presiden PFM Panchacharam Nalliah atau Pansha berkatapertembungan kuasa antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri menjadikan industri perfileman tempatan sebagai mangsa. – 14 Mac 2023.

Iklan
Iklan