Iklan

Ketua setiausaha nafi GTA akan sertai Perikatan

Mohd Farhan Darwis2 years ago15th Mar 2023Berita
300752112 5974641742565170 4116996906885712618 n
GTA menafikan laporan mendakwa gabungan itu akan menyertai Perikatan Nasional, kata Ketua Setiausaha Marzuki Yahaya. – Gambar Facebook, 15 Mac, 2023.
Iklan

GERAKAN Tanah Air (GTA) menafikan laporan mendakwa gabungan itu akan menyertai Perikatan Nasional (PN), kata Ketua Setiausaha Marzuki Yahaya.

Beliau berkata butiran seperti dilaporkan itu tidak benar dan tidak pernah dibincangkan di dalam gabungan berkenaan.

“Berita yang tidak sahih dan tidak pernah dibincangkan…(laporan) tidak benar sama sekali,” kata Marzuki kepada The Malaysia Insight.

Beliau bagaimanapun mengesahkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang ada bertemu Pengerusi GTA Dr Mahathir Mohamad, namun ia berlangsung pada November lalu, sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“(Pertemuan) tidak dibincang langsung soal parti tetapi lebih tertumpu kepada kuasa politik Melayu yang terancam dan juga soal nasib bangsa masa hadapan,” tambahnya.

Marzuki berkata GTA belum memutuskan sama ada mereka akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang, memandangkan pendaftaran mereka masih tidak diluluskan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Belum ada keputusan lagi, kerana kita juga masih menunggu kelulusan pendaftaran GTA daripada RoS, seperti mana yang sedia maklum pihak GTA telah menepati semua kehendak RoS selepas pengunduran Pejuang untuk kelulusan.

“Tetapi sehingga kita belum ada jawapan daripada pihak RoS,” katanya.

Setiausaha Agung Putra Rosdi Idris dalam satu kenyataan turut menafikan laporan tersebut dan menegaskan isu penyertaan Putra dengan PN tidak pernah dibangkitkan dalam perbincangan dalaman parti berkenaan.

“Kedua-dua isu termasuk isu penukaran nama Putra kepada GTA tidak pernah disentuh dalam mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra setakat ini.

“Ini juga selaras dengan kenyataan presiden Putra pada 3 Mac lalu yang segala keputusan hanya akan diketahui selepas Persidangan Agung Tahunan Putra kali ke-4 yang dijangka berlangsung pada 7 Mei, 2023 nanti,” katanya.

Awal hari ini, beberapa portal melaporkan GTA yang disertai parti Putra, Berjasa, dan Iman mempertimbangkan untuk menyertai PN bagi mewujudkan blok gabungan Melayu terbesar di dalam negara.

Laporan yang memetik sumber GTA itu mendakwa, nama Putra akan ditukar menjadi GTA pada perhimpunan agung tahunan parti itu bulan depan, dan akan melantik Dr Mahathir sebagai presiden.

Dr Mahathir bertindak melepaskan jawatan sebagai pengerusi dan meninggalkan Pejuang, parti yang diasaskannya, dan menyertai Putra pada bulan lalu.

Beliau kemudian dilantik sebagai penasihat kepada parti yang diasaskan bekas ahli Parlimen Pasir Mas Ibrahim Ali.

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir pula dilaporkan menyatakan hasrat untuk menyertai PN selepas parti itu kalah teruk di PRU15 apabila semua calon mereka tewas dan hilang deposit. – 15 Mac, 2023.

Iklan
Iklan