Iklan

Harga baju, kasut sekolah, alat tulis makin mahal

Angie Tan2 years ago16th Mar 2023Berita
50968083258 9f5fb564a1 o
Bantuan awal persekolahan RM150 yang diterima daripada kerajaan pada Januari lalu tidak cukup untuk menampung beban ibu bapa susulan kos barangan sekolah melonjak tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2023.
Iklan

SESI persekolahan baharu akan dibuka semula minggu lepas, dengan ibu bapa berdepan dengan harga barangan keperluan sekolah melonjak hingga membebankan, kata peniaga barang sekolah.

Malah, dengan adanya bantuan awal persekolahan RM150 yang diterima daripada kerajaan pada Januari lalu sekalipun, mereka masih terbeban dengan kos membeli baju seragam sekolah, kasut sekolah dan alat tulis.

Kos pengeluaran sepasang kasut sekolah naik 15%, kata Persatuan Pembuat Kasut Malaysia sementara Persekutuan Industri Alat Tulis, Buku Malaysia berkata harga baju sekolah naik antara 10% hingga 20%.

Presiden Persatuan Pembuat Kasut Malaysia Rachel Foo bagaimanapun berkata peniaga bersetuju untuk menaikkan harga kasut hanya 5% berbanding harga tahun lalu.

Foo berkata kos pengeluaran meningkat kerana kenaikan kos bahan mentah dan ringgit yang lemah.

Tetapi katanya, ibu bapa ada pilihan.

Jika kasut keluaran tempatan mahal, mereka boleh memilih untuk membeli kasut diimport dari China, kata Foo kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata kebanyakan kasut sekolah yang dijual di Malaysia diimport dari China.

“Tidak seperti dulu, bekalan dari China agak tidak stabil kerana negara itu masih dalam keadaan pemulihan dari perintah berkurung akibat Covid-19,” katanya.

Kilang yang baru saja mula kembali beroperasi sedang bergelut memenuhi tempahan penghantaran untuk Disember.

Oleh itu katanya, kasut dari China sekalipun mungkin tidak dapat memenuhi permintaan.

Harga kos pengeluaran kasut sekolah naik hingga 15% tetapi peniaga dikatakan setuju menaikkan harga kasut hanya 5%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2023.

Tahun ini adalah kali pertama semua pelajar kembali ke sekolah secara serentak pada Mac, berbanding permulaan persekolahan biasanya dibuka pada Januari setiap tahun.

Foo berkata tahun persekolahan baharu juga tidak sesuai kerana masyarakat Cina baru saja selesai menyambut Tahun Baharu Cina.

“Jadi jika ada lima hingga enam anak masih bersekolah, ibu bapa terpaksa beli enam pasang kasut baharu jika mereka tidak mengulang pakai kasut tahun lalu.

“Dan biasanya, seorang anak perlukan dua pasang kasut – satu dipakai, satu lagi mungkin kotor dan perlu dibasuh pada masa sama.

“Dengan inflasi, sudah tentu ibu bapa akan perlu melihat-lihat dulu harga sebelum membeli.”

Kitar semula pakaian seragam sekolah

Presiden Persekutuan Industri Alat Tulis dan Buku Malaysia Annie Chia berkata kos alat tulis juga meningkat tahun ini.

Bagaimanapun, katanya peniaga memilih untuk tidak menaikkan harga pada masa sekarang walaupun berlaku kenaikan harga kos.

“Mereka akan serap kos itu,” kata Chia.

Kebanyakan alat tulis yang dijual di pasaran tempatan adalah diimport.

Presiden Persatuan Pemborong Pakaian Malaysia Ang Say Tee sementara itu berkata jualan pakaian seragam sekolah dijangka agak perlahan dalam kalangan keluarga Cina.

“Sambutan Tahun Baharu Cina baru berlalu akan mengurangkan kuasa beli mereka.”

Katanya, beliau menjangkakan ibu bapa akan meminta anak mereka memakai baju sekolah lama, kecuali baju sudah tidak muat atau rosak.

Sama seperti barangan lain, Ang berkata pakaian seragam sekolah kebanyakannya diimport – sama ada dari China atau Vietnam.

“Kos baju sekolah naik antara 20% hingga 20%.”

Pada 20 Disember tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam ucapan belanjawan mini do Parlimen, mengumumkan bantuan awal persekolahan R150 diberikan kepada setiap murid di sekolah rendah dan menengah sesi 2023, tanpa mengira pendapatan ibu bapa.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek kemudian berkata bantuan itu akan diagihkan dalam dua fasa iaitu Januari dan Mac.

Objektif bantuan tunai itu adalah bagi meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan sekolah anak. – 16 Mac, 2023.

Iklan
Iklan