Iklan

Husam Musa kini pengerusi SPNB

Diyana Ibrahim2 years ago18th Mar 2023Berita
Pkr campaign 281022 tmiseth-7
Bekas naib presiden Amanah Husam Musa disahkan dilantik menjadi pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac 2023.
Iklan

SEORANG lagi pemimpin politik dari parti blok kerajaan perpaduan dilantik ke syarikat berkaitan kerajaan dalam siri agihan jawatan selepas gabungan itu menguasai Putrajaya.

Bekas naib presiden Amanah Husam Musa disahkan dilantik menjadi pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Seorang pegawainya yang enggan namanya disiarkan memberitahu The Malaysian Insight, Husam menerima surat pelantikan tersebut dua minggu lalu.

“Minggu depan lapor diri,” katanya lagi.

Desas-desus mengenai pelantikan tersebut disebarkan seorang penulis politik yang dekat dengan Amanah, Mohd Sayuti Omar dalam satu kenyataan di Facebook semalam.

Sayuti menyebut, beliau gembira kerana Husam diberi amanah oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menerajui syarikat bawah Kementerian Kewangan dan Kerajaan Tempatan itu.

“Pelantikan itu tepat dan satu tanggungjawab besar. Soal perumahan menjadi perhatian umum dan agenda utama kerajaan perpaduan bagi menjamin kediaman selesa untuk rakyat,” katanya.

Husam dilantik ke jawatan itu selepas tewas dalam kempennya di kerusi Pasir Mas dalam PRU15 dan kini tidak mengisi mana-mana jawatan utama dalam Amanah.

Beliau menggerakkan sebuah badan atas nama Save Kelantan selepas meletak jawatan naib presiden Amanah dan pengerusi PH Kelantan pada September 2020.

Husam antara pemimpin PH yang paling awal membuat gesaan terbuka agar gabungan itu membentuk kerjasama dengan BN sebaik PRU15 berlangsung pada November lalu.

Amalan pelantikan pemimpin politik ke syarikat dan agensi penting negara dikritik kumpulan masyarakat sivil yang melihatnya sebagai tindakan hipokrit PH.

Mereka kesal kerana reformis seperti Anwar membenarkan amalan tersebut terus berlaku di bawah pentadbirannya sedangkan masih ramai individu lain yang lebih berkelayakan.

Pelantikan Husam menyusuli pengumuman pelantikan bekas ketua pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki sebagai pengerusi Mara, salah satu agensi utama bagi kepentingan bumiputera. – 18 Mac 2023.

Iklan
Iklan