Iklan

Isu Melayu tumpuan PRN, kata perwakilan PKR

Diyana Ibrahim2 years ago19th Mar 2023Berita
Anwar ibrahim kongres khas pkr 05
Kongres Khas Nasional PKR semalam banyak membahaskan isu orang Melayu yang dianggap penting kerana pilihan raya negeri yang bakal diadakan tidak lama lagi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 Mac, 2023.
Iklan

ISU berkaitan hak Melayu, agama dan sentimen kaum menjadi perhatian dalam Kongres Khas Nasional PKR kerana pilihan raya negeri bakal berlangsung, kata para perwakilan.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight isu tersebut banyak diangkat dalam perbahasan perwakilan sepanjang kongres yang berlangsung di Shah Alam hari ini.

Perwakilan Kelantan, Nurazri Mohd Arrifin berkata isu tersebut dibahaskan bagi membaiki kelemahan Pakatan Harapan (PH) yang gagal menembusi sokongan pengundi Melayu.

Halangan itu dikesan di negeri pantai timur seperti di negerinya sendiri dan juga Terengganu dan Kedah yang berpunca dari retorik kaum dan agama pihak lawan, ujar wakil itu.

Oleh itu PKR dan PH perlu menghadapi cabaran meyakinkan bahawa gabungan parti itu turut memperkasakan hak kaum Melayu bumiputera tanpa menafikan hak kaum lain, katanya.

Cabaran itu perlu dihadapi terutama setelah PKR dan PH kini kembali menguasai kerajaan, katanya lagi yang ditemui di kongres tersebut.

“Daripada analisis Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15) kita dapati ada penolakan negeri pantai timur-negeri di mana pengundi Melayu terbanyak.

“Tapi mereka ini tak nampak yang PH juga perjuangkan agama agama serta bangsa. Jadi untuk kongres kali kali ini memang kita (tumpu) perkasakan Melayu dan hak bumiputera serta agama.

“Kita perlu yakinkan seluruh rakyat Malaysia bahawa parti kita ini terdiri parti yang pelbagai kaum dan memperjuangkan hak mereka,” katanya.

Perbahasan para perwakilan hari ini menyusuli ucapan dasar presidennya Anwar Ibrahim yang menyelar kempen memacu sentimen kaum pada waktu ini.

Dalam ucapan di Stadium Malawati Shah Alam hari ini, Anwar turut memberi jaminan hak kaum Melayu, Islam dan Bumiputera lebih terbela bawah kerajaan perpaduan.

Juga dalam latar sama, Anwar semalam mengarahkan pasukan keselamatan berjaga-jaga dan segera bertindak ke atas mana-mana pihak yang memainkan sentimen kaum dan agama.

Mengulas mengenai halangan menangani isu dan sentimen kaum itu dalam PRN, seorang lagi perwakilan menyebut PKR perlu lebih agresif mendekati pengundi.

Wakil Pulau Pinang, Muhammad Fadzli Roslan berkata ia disebut pembahas di kongres hari ini bagi mendekati pengundi Melayu luar bandar dengan maklumat yang betul.

“Antara pembahas yang saya sempat dengar, pewakilan beberapa negeri cerita kita perlu kuasai kaum Melayu,” katanya.

Jelasnya, PH perlu lebih agresif mendekati komuniti ini kerana pengundi Melayu banyak memihak kepada PN.

“Soalnya bagaimana kita kuasai negeri ini PRN dengan mendekati bangsa Melayu tanpa sisihkan bangsa lain.

“Mesej ini  perlu sampai kepada mereka sebab mereka selalu fikir PH, PKR ini tidak membantu orang Melayu,” katanya.

Walhal, keadaan sebenarnya berbeza dan ia dibuktikan dengan pelbagai peruntukan diumumkan dalan pembentangan baharu Belanjawan 2023 bulan lalu, katanya.

Seorang lagi perwakilan menjelaskan, isu kaum yang banyak ditimbulkan dalam kongres kali ini bukan cubaan bagi PKR menjadi juara memperjuangkan hak orang Melayu.

Timbalan Ketua Pemuda PKR Muhammad Kamil Abdul Munim berkata ia juga bukan disebabkan parti itu tidak yakin untuk meraih sokongan orang Melayu.

Sebaliknya usaha lebih utama untuk menyelamatkan pengundi Melayu daripada terus dimomokkan dengan perkara tidak betul, katanya.

“Kita tidak cuba untuk jadi orang Melayu yang kita nak ialah menjadi juara melalui pelaksanaan dasar, polisi ekonomi dan bukan jerit soal nak selamatkan orang Melayu.

“Tapi bila perdana menteri sebut soal usaha menoktah kemiskinan tegar, kamu pula bercakap mengenai soal agama, Melayu dan menentang idea yang dibawa,” katanya. – 19 Mac, 2023.

Iklan
Iklan