Iklan

Pemilihan di dua bahagian bermasalah, kata Zahid

Mohd Farhan Darwis2 years ago19th Mar 2023Berita
Ahmad zahid hamidi umno assembly 20180930 tmiafif 15
Ahmad Zahid memaklumkan dua bahagian yang bakal menjalani pemilihan semula melibatkan Lahad Datu dan Johor Bahru.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2023.
Iklan

SEKURANG-kurangnya dua Umno bahagian berhadapan masalah dalam proses pemilihan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Dua bahagian yang dimaksudkan adalah Lahad Datu dan Johor Bahru.

“Untuk peringkat bahagian yang memilih jawatankuasa dan juga majlis tertinggi kita akan ketahui (kemudian)...setakat ini dua, Lahad Datu dan Johor Bahru.

“Yang kena kira semula tu setakat ni sayap-sayap tidak lebih daripada lima (bahagian)...tapi setakat ni tidak lebih dari lima peratus kes-kes yang berat ataupun ringan,” kata Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC), malam tadi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata mana-mana bahagian yang bermasalah dalam proses pemilihan kali ini juga bakal berhadapan pemilihan semula.

“Bahagian-bahagian yang ada masalah macam itu kita akan berbincang dengan jawatankuasa pemilihan sama dan batalkan atau adakan pemilihan semula. Memang semua parti ada berlaku begitu, jika kes-kes itu memerlukan rujukan kepada lembaga disiplin maka tindakan displin akan dilakukan.

“Jika tidak maka tindakannya (adalah) pembatalan dan diadakan pemilihan. Satu agenda sahaja, pemilihan atau pengundian di tempat itu,” kata Ahmad Zahid.

Timbalan perdana menteri itu berkata sebahagian isu yang dibangkitkan sewaktu proses pemilihan juga dapat diselesaikan dengan baik oleh Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) yang diketuai Shahrir Samad.

“Jadi aduan-aduan yang kita terima itu kita jumpa dengan pengadu dan pihak yang diadu kebanyakannya kita selesaikan (dan) aduan itu ditarik, (ada antara) mereka terima keputusan yang dibuat oleh perwakilan.

“Ertinya saya sendiri yakin dengan jawatankuasa pemilihan ini dan tiap-tiap bahagian itu ada wakil-wakil JPU di sana. Mereka memantau, laporan-laporan sebenar dihantar ke pihak JPU pusat untuk kita lakukan penelitian dan siasatan,” katanya.

Proses pemilihan Umno sesi 2023 hingga 2026 kali ini melibatkan lebih 160,000 perwakilan dari 189 bahagian.

Proses pemilihan Umno Bahagian Johor Bahru digantung kira-kira pukul 10 malam tadi oleh Pengerusi Tetap Bahagian Johor Bahru Azmi Samin selepas berlaku dakwaan kertas undi melebihi daripada jumlah perwakilan yang hadir.

Jawatan ketua bahagian itu menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Naib Ketua Pemuda Mohd Hairi Mad Shah dan bekas timbalan ketua Umno bahagian Johor Bahru Yahya Jaafar selepas Shahrir mengumumkan tidak mempertahankan jawatan disandangnya sejak 1978 itu.

Bagi Umno Bahagian Lahad Datu pula berlaku kekecohan selepas beberapa penyokong calon yang bertanding dilaporkan bergaduh.

Menurut laporan, kekecohan berlaku susulan pergaduhan di Dewan Sri Perdana yang didakwa berpunca daripada provokasi segelintir penyokong calon yang bertanding dalam pemilihan Umno hari ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad turut mengesahkan kejadian berkenaan. – 19 Mac, 2023.

Iklan
Iklan