Kenaikan kos, ringgit lemah rencat pemulihan sektor pengilangan
Iklan
KENAIKAN kos bahan mentah dan kadar tukaran wang asing yang menjunam menyebabkan proses pemulihan bagi sektor pengilangan sangat perlahan, ditambah lagi dengan pandemik Covid-19, kata Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM).
FMM baru saja mengeluarkan kaji selidik keadaan perniagaan yang menyatakan sektor itu tidak pulih seperti dijangkakan.
Kaji selidik itu mendapati 65% responden menggesa kerajaan mengambil langkah sewajarnya untuk menstabilkan ringgit.
Presiden FMM Soh Thian Lai berkata kadar tukaran wang asing yang stabil adalah penting kerana 65% produk produk perantaraan adalah diimport.
Dalam laporan itu, 70% responden bimbang kesan terhadap pemulihan perniagaan dan pertumbuhan, manakala 64% yang lain bimbang tentang kos tenaga.
Presiden Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana Ding Hong Sing berkata sektor pembuatan perlahan pada masa ini, di mana biasanya keadaan bertambah baik pada Julai.
Bagaimanapun, Ding berkata kepada The Malaysian Insight kelembapan itu sesuatu yang luar biasa, dan industri tidak menjangka keadaan seperti itu.
Beliau berkata kejatuhan biasa dalam pengeluaran biasanya hanya sekitar 10% tetapi tahun ini ia merosot antara 20-25%.
Keseluruhan rantaian bekalan terjejas akibat kenaikan harga,” katanya, menambah pasaran semakin teruk sejak Tahun Baharu Cina.
“Sebelum ini, bila situasi agak perlahan, syarikat tidak terlalu tertekan tetapi dengan kos bahan mentah yang meningkat, kos operasi dan gaji, syarikat mula hilang pendapatan apabila tempahan berkurangan.”
Ding berkata bagi sesetengah syarikat besar, pembayaran gaji mulai menjadi sesuatu yang membimbangkan.
“Gaji biasanya adalah kos overhed tetap. Bila pengeluaran berkurangan dan pendapatan menjunam, gaji akan jadi masalah besar,” katanya.
Bendahari Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia Bersekutu (ACCCIM) Koong Lin Loong berkata sektor pengilangan membentuk 24% daripada ekonomi negara, maka jika ia berdepan masalah ia akan membawa kesan besar.
“Satu perempat daripada KDNK adalah pengilangan, yang menunjukkan kepentingannya, jadi apabila sektor ini terjejas, sudah tentu ia menjejaskan ekonomi,” katanya.
Koong berkata pada suku kedua 2022, sektor pengilangan berkembang 9.2%, diikuti 13.2% pada suku ketiga. Namun, ia hanya mengembang 3.9% pada suku keempat.
Katanya, keadaan itu menunjukkan suku pertama tahun ini tidak akan menunjukkan keadaan yang lebih baik. – 22 Mac, 2023.
Berita penuh di sini.