Iklan

Tiada istilah orang Najib, orang Zahid, kata ahli MKT Umno

Mohd Farhan Darwis2 years ago27th Mar 2023Berita
Najib razak zahid hamidi umno general assembly 71st tminazir 18
Ahli MKT Umno lihat Najib Razak masih dikenang kerana jasanya dalam parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2023.
Iklan

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang dipilih baru-baru ini bukannya ramai dalam kalangan penyokong bekas presiden Najib Razak tetapi adalah mereka yang teguh bersama presiden Ahmad Zahid Hamidi, kata beberapa anggotanya.

Mereka menegaskan kepimpinan baharu Umno itu terdiri daripada kumpulan yang mengenang jasa Najib serta pada masa sama, setia kepada parti dan mendukung institusi presiden.

Mereka mengulas kenyataan Khairy Jamaluddin minggu lepas bahawa Najib masih berpengaruh dalam parti kerana ramai penyokong tegarnya kini menganggotai MKT Umno.

Anggota MKT yang terpilih Johan Abdul Aziz berkata tiada istilah orang itu atau orang ini dalam kalangan barisan kepimpinan yang baharu sebaliknya mereka adalah kumpulan pemimpin yang berdiri teguh menyokong Ahmad Zahid.

“Sekarang semua kem Umno adalah penyokong presiden Zahid Hamidi, mereka yang hormat institusi parti dan presiden.

“Tidak timbul (kumpulan penyokong) Najib atau sebagainya. Tidak timbul lagi kem-kem kerana saya memang orang Umno, Najib juga orang Umno, termasuk presiden… yang bukan ahli Umno adalah Khairy kerana dah kena pecat,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Dalam siaran podcast bersama bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan yang digantung keahlian parti minggu lepas, Khairy mendakwa walaupun Ahmad Zahid dilihat kuat dan kekal sebagai presiden Umno, Najib masih ada kekuatan sendiri biarpun sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Khairy adalah antara pemimpin Umno yang dipecat daripada parti pada hujung Januari lalu dalam proses yang disifatkan sebagai pembersihan parti selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Johan adalah antara muka baharu dalam kalangan 25 ahli MKT yang dipilih oleh perwakilan, yang didakwa Khairy sebagai penyokong Najib.

Ketua Umno Bahagian Hulu Langat itu bagaimanapun menegaskan tanggapan itu tidak betul kerana Ahmad Zahid sendiri pun pernah berkhidmat dengan Najib termasuk suatu ketika sebagai setiausaha politiknya sebelum jadi timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri.

“Kalau ikut parti kita sokong (Ahmad Zahid) sebagai presiden. Siapa presiden pun kita akan hormati.

“Jadi tak timbul orang Najib, orang Zahid. Ini semua keluarga besar Umno. Jangan timbulkan puak-puak. Kita dah bertekad dengan satu matlamat, Umno perlu bangkit.

“Yang penting, kita tahu jaga parti, jaga rumah kita baik-baik. Kalau ada selisih faham patutnya kita betulkan, kalau tak boleh betul kena cuci apa yang patut…kalau dalam rumah kita asyik bercakaran, macam mana?” katanya.

 – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2023.
Johan juga mempersoalkan dengan logik Khairy, apakah bekas ketua pemuda Umno itu juga orang Najib kerana pernah menguruskan visi bekas perdana menteri semasa jadi menteri dalam pentadbirannya.

Khairy adalah menteri belia dan sukan yang diberi tanggungjawab menguruskan program Transformasi Nasional 2050 (TN50), sebuah pelan pembangunan yang digagaskan oleh Najib.

“Adakah Khairy juga orang Najib?” soal Johan.

Selain Johan, antara muka baharu dalam MKT Umno yang didakwa penyokong kuat Najib ialah bekas pegawai khas Isham Jalil dan bekas menteri dalam kabinetnya Johari Abdul Ghani.

Menurut Isham, Najib mempunyai ramai pengikut kerana beliau pemimpin yang berjasa.

“Najib pernah memimpin Umno lama, hampir 10 tahun, sudah tentu memang beliau ramai penyokong dan pengikut dalam parti.

“Saya tidak terkejut (dengan dakwaan Khairy) kerana semasa Najib menjadi pemimpin Umno pun dulu beliau bagus, baik dengan orang.

“Orang suka bersama beliau dan tidak ada banyak masalah…senang kata beliau banyak kawan,” katanya.

Disebabkan itu katanya, Najib masih mempunyai pengaruh yang besar dalam parti meskipun sedang menjalani hukuman penjara.

“Bila ramai kawan, pemimpin yang baik ini masih ramai pengikut walaupun dipenjarakan…di peringkat akar umbi pun Najib masih ramai pengikut,” kata Isham.

Kenang jasa

Seorang lagi anggota MKT Umno yang baru dipilih Muhammad Razlan Rafii menjelaskan barisan kepimpinan baharu parti tetap mengenang mana-mana pemimpin yang banyak menyumbang bakti dan jasa kepada parti dan negara, seperti Najib.

“Perbezaan antara Khairy dan Najib adalah jasa. Orang kenang jasa Najib yang sanggup berkorban demi parti tetapi orang tak kenang jasa Khairy kerana dia tak melihat parti sebagai sebuah organisasi. 

“Khairy ingat dia naik (jadi menteri sebelum ini) sebab diri dia sendiri bukan pasal parti. Dia tak melihat parti sebagai nombor satu sebab itu orang tak kenang dia,” kata Razlan.

Ketua Umno Bahagian Seputeh itu juga berkata ahli dan pemimpin Umno masih dilihat bersama menyokong Najib kerana khidmatnya selama memimpin Umno.

“Perbezaan orang cintakan parti dan tak cinta parti itulah dia. Khairy suka diri dia dilihat ‘power’ secara bersendirian berbanding orang lain, disebabkan itu orang kenang jasa Najib, kenang jasa Zahid, orang tak kenang jasa Khairy

“Najib pun bukan kuat sangat (pengaruhnya) tapi orang kenang jasa dia,” tambah Razlan lagi.

Tidak logik

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali bagaimanapun melihat pandangan Khairy itu sukar dibuktikan kerana segala keputusan Umno hari ini adalah percaturan Ahmad Zahid selaku presiden.

Beliau tidak nampak tindak tanduk Ahmad Zahid itu sebagai sebahagian daripada perancangan Najib.

“Kalau hendak kata arahan Najib tidak nampak logik sebab apa yang berlaku dalam Umno adalah keputusan Zahid, contohnya bersama Pakatan Harapan (PH), tidak ditandingi jawatan presiden dan timbalan.

“Kemenangan calon pro Zahid pada saya macam mana nak kait dengan Najib sedangkan beliau sudah lama terkeluar daripada Umno disebabkan kes yang dihadapinya dan sekarang dipenjarakan,” kata Mazlan.

Selepas 2018, Najib dilihat lebih banyak berjuang untuk dirinya sendiri yang berhadapan perbicaraan di mahkamah, tambahnya.

Atas sebab itu, beliau berpandangan kenyataan Khairy tidak lebih daripada sekadar berpolitik.

“Hanya percakapan politik, atas dasar apa, kita tidak tahu. Adakah nak lagakan Zahid dengan Najib?

“Kenapa beliau bangkitkan, sedangkan Najib dan Zahid tiada masalah, mereka satu kumpulan, bukan menentang satu sama lain.

“Najib juga sekarang senyap, sekarang adalah kepimpinan Zahid, jadi kita tidak nampak apa tujuan Khairy sebenarnya,” kata Mazlan lagi. – 27 Mac, 2023.

Iklan
Iklan