Iklan

Tiada sebab Pakatan tolak Muda, kata pemimpin gabungan

Mohd Farhan Darwis2 years ago28th Mar 2023Berita
Muda last campaign tmi 02
Penganalisis politik melihat Muda gagal membuktikan penguasaannya ke atas segmen pengundi muda sejak penubuhannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2023.
Iklan

TIADA sebab untuk Pakatan Harapan (PH) menolak permohonan Muda menyertai gabungan itu kerana ia sentiasa menjadi pendukung kuat kepada perjuangan PH dan kerajaan perpaduan, kata pemimpin akar umbi PH.

Mereka berpandangan parti komponen PH terbuka menerima Muda yang diasaskan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang sudah menyatakan hasrat untuk menyertai gabungan itu sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi.

Bagi mereka, isu Muda dua kali tidak dijemput ke mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan adalah isu yang berasingan dengan permohonan parti itu menyertai PH.

Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Selangor, Adzman Kamaruddin berkata, akar umbi PKR khususnya tiada masalah jika Muda menyertai PH.

“Hari ini kita lebih terbuka soal penerimaan, bersama dengan Barisan Nasional (BN) pun lepas PRU15 ada kesepakatan… tiada isu. 

“Tetapi penerimaan Muda secara rasmi dalam PH kita serahkan kepada pucuk pimpinan (untuk jelaskan).

“Tiada masalah (untuk PH) terima Muda selagi mereka menyokong, saya rasa ini hanya isu teknikal,” katanya, sambil mengingatkan keputusan akhir mengenai Muda ditentukan oleh Majlis Presiden PH.

Selepas tidak dipanggil ke mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada awal Februari, Muda sekali lagi tidak dijemput ke mesyuarat keduanya pada 19 Mac.

Ketika itu, Setiausaha Agung Muda Amir Hariri Abd Hadi berkata pihaknya masih menunggu maklum balas daripada PH untuk membincangkan peranannya dalam kerajaan selain permohonannya untuk menyertai gabungan itu.

Dalam reaksinya, Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail mendakwa beliau terlalu sibuk sehingga tidak sempat membaca surat permohonan Muda untuk menyertai PH.

Susulan itu, Amir secara sinis kemudian mendedahkan di media sosial semua surat-menyurat Muda kepada PH, termasuk perjanjian kerjasama yang dimeterai sebelum PRU15.

Adzman menyifatkan perkara yang berbangkit “hanya isu kecil” sama seperti isu antara Muda dan PH sebelum PRU15, sementara akar umbi PH sekarang lebih sedia menerima Muda sebagai anggota gabungan.

Muda memohon untuk menyertai PH sejak sebelum PRU15 lagi.

“Lepas PRU kita tidak dengar ada isu, bila imbas balik pasal PRN (Johor), lepas PRU tiada sebarang isu besar… ada isu picisan, kecilan seperti Muda (tidak dijemput) sewaktu mesyuarat sekretariat kerajaan perpaduan.

“Kami di akar umbi tiada isu selagi mereka selari aspirasi kerajaan,” katanya.

Semasa pilihan raya negeri Johor, Muda yang pertama kali menyertai pilihan raya gagal mencapai kata sepakat dengan PKR menyebabkan calon mereka bertembung di kerusi DUN Larkin.

Kerusi itu kemudian dimenangi calon BN Mohd Hairi Mad Shah, yang juga ketika itu ketua Pemuda Umno Johor.

Bukan ancaman

Adzman tidak melihat Muda sebagai ancaman kepada Pemuda PKR kerana baginya setiap setiap sayap pemuda parti ada kekuatan yang tersendiri.

“Setiap sayap bergerak atas kapasiti masing-masing untuk politik parti kita tak boleh banding, Angkatan Muda Keadilan dan Muda juga ada kekuatan, jadi kita raikan kekuatan masing masing,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Nasional Amanah Faiz Fadzil berkata Muda sekarang adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan dan isu penyertaannya ke dalam PH tidak seharusnya menjejaskan hubungan mereka.

“Muda sudah berikan sokongan kepada kerajaan perpaduan ketika ditubuhkan dan kepada Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

“Jadinya, isu itu tidaklah menjejaskan hubungan dalam kerajaan perpaduan,” kata Faiz.

Komponen PH juga tidak pernah menganggap Muda sebagai parti yang tidak penting, katanya.

“Kedudukan Syed Saddiq di Parlimen pun kita letakkan sebagai penyokong kerajaan, cuma pucuk pimpinan yang belum buat keputusan (untuk Muda sertai PH),” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali melihat Muda gagal membuktikan penguasaannya ke atas segmen pengundi muda sejak penubuhannya.

Kegagalan Muda itu dapat dilihat dalam siri pilihan raya yang ia sertai, jelasnya.

Mazlan juga berpendapat Syed Saddiq gagal membuktikan mampu membawa gerakan anak muda untuk menyokong parti itu.

“Pada PRU15 Perikatan Nasional (PN) yang dapat undi anak muda.

“Prestasi PRU teruk. Mungkin disebabkan itu Anwar pun menilai juga, Muda parti kecil tak menggugat,” katanya.

Mazlan melihat sekiranya Muda menyertai PH, komponen gabungan itu akan perlu bertolak ansur khususnya dalam soal pembahagian kerusi untuk mana-mana pilihan raya akan datang.

“Kalau banyak komponen susah nak runding kerusi, tak berbaloi… kecuali parti besar macam Umno, berbaloi juga.

“Mungkin prestasi Muda yang tidak dapat buktikan mereka parti berpengaruh yang membuatkan permohonan mereka untuk menyertai PH belum diputuskan,” kata Mazlan. – 28 Mac, 2023.

Iklan
Iklan