Zahid kata PRU14 pilihan raya terakhirnya, tapi...
Iklan
TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jika keputusan berada ditangannya, beliau tidak akan bertanding lagi selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Namun, ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, sementara beliau ingin membuka jalan buat calon yang lebih muda mengambil alih, rakan-rakan dalam kepimpinan Barisan Nasional (BN) pula mahu beliau terus berada untuk lagi 20 tahun.
“Saya beritahu kawan-kawan dalam komponen BN saya tak mahu bertanding lagi selepas ni. Saya tak hendak. Saya tak mahu untuk bertanding lagi.
“Insyallah saya akan berhenti sebelum umur saya 93 tahun,” katanya secara berseloroh yang menyebabkan hadirin ketawa kerana secara tidak langsung merujuk kepada pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir Mohamad yang kini berusia 93 tahun.
“Cukuplah. Bagi (pula peluang) pada anak muda yang lain. Saya (sudah) sediakan lapisan kedua, ketiga dalam kepimpinan politik Bagan Datuk. Saya tak mahu menongkat langit.
“Saya minta rakan-rakan media faham bahawa memang saya tak berhajat untuk bertanding, tapi rakan-rakan minta saya bertanding 20 tahun lagi.”
Zahid juga berkata projek yang dicadangkan untuk Bagan Datuk bukanlah untuk dirinya, tetapi untuk generasi masa depan.
“Ia (projek-projek ini) akan jadi satu legasi, bukan milik saya secara peribadi, tetapi bagi sesiapa saja yang mewakili Barisan Nasional,” katanya.
Antara inisiatif yang diketengahkan oleh Zahid untuk Bagan Datuk hari ini ialah cadangan pembinaan terowong dasar laut yang menghubungkan Bagan Datuk dengan Sumatera.
“Kita nak tarik pelancong dari Indonesia dan jadikan Bagan Datuk sebagai hab holistik,” kata Zahid. – 18 Mac, 2018.