Iklan

Malaysia cadang bina terowong dasar laut ke Sumatera untuk galakkan pelancongan 

Asila Jalil7 years ago18th Mar 2018Berita
Zahid hamidi gpms tmikamal 02
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata projek berkenaan yang menghubungkan Bagan Datuk, Perak dengan Sumatera, Indonesia kini dalam perancangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2018. 
Iklan

TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata kerajaan mungkin akan membina terowong dasar laut yang menghubungkan Bagan Datuk ke Sumatera.

Katanya, projek berkenaan yang kini dalam perancangan adalah bagi menggalakkan pelancong dari Indonesia ke negara ini dan menjadikan Bagan Datuk sebagai hab logistik negara.

“Perancangan fizikal sudah diluluskan tetapi kami akan bentangkan kepada penilaian impak alam sekitar (EIA) kerana ia melibatkan kerjasama dari negara Asean lain,” katanya pada sesi Dialog TN50 Bagan Datuk di Serdang hari ini.

Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk berkata terdapat pertemuan antara mereka di luar kerajaan negeri. 

“Ia merupakan inisiatif swasta dan kami serahkan kepada sektor swasta untuk mendapatkan kelulussan yang diperlukan selain mereka daripada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan Indonesia,” katanya menambah kos projek berkenaan mungkin lebih AS$20 bilion. 

Katanya, pelan utama untuk terowong berkenaan membabitkan Bali yang menghubungkan Jawa dan kemudiannya Sumatera. 

“Dan dari sana ia akan menghubungkan semenanjung menerusi Bagan Datuk. Semuanya bermula dari Bagan Datuk. Ini akan menarik pelancong dari Indonesia,” tambahnya. 

Malaysia kini sedang menjalankan projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura yang diumumkan pada 2010 dan dijangka siap pada 2026. 

Perdana Menteri Najib Razak turut mengumumkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Gombak, Selangor ke Kota Bharu, Kelantan dan dijangka sap pada 2024. 

Najib sebelum ini menyifatkan projek ECRL sebagai projek “perubahan” kepada negara. – 18 Mac, 2018. 

Iklan
Iklan