Iklan

Segerakan dasar baharu ekonomi Melayu Bumiputera, gesa persatuan kepada PM

Diyana Ibrahim2 years ago6th Apr 2023Berita
Anwar
Perdana Menteri Anwar Ibrahim belum menunjukkan hala tuju dan yang jelas dalam soal agenda ekonomi Melayu dan Bumiputera.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2023.
Iklan

PUTRAJAYA perlu segera melakukan perubahan dan memperkenalkan dasar baharu untuk memperkasakan ekonomi Melayu Bumiputera, kata pertubuhan berkaitan ekonomi dan Melayu.

Mereka melihat pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih belum menunjukkan hala tuju dan sasaran yang jelas dalam soal agenda ekonomi Melayu dan Bumiputera.

Biarpun kerajaan yang dibentuk sejak hujung November lepas mengumumkan beberapa usaha melalui Belanjawan 2023, mereka melihat usaha itu bersifat jangka pendek dan bukan penyelesaian menyeluruh kepada isu ekonomi Melayu dan Bumiputera.

Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata pihaknya masih lagi ternanti-nanti dasar besar yang akan diperkenalkan oleh Anwar berhubung agenda Melayu dan Bumiputera.

MTEM berharap Anwar akan melakukan rombakan dasar yang akan memberi manfaat kepada lebih ramai Melayu dan Bumiputera.

“Ia bukan sekadar menyelesaikan masalah kemiskinan semata-mata, tapi sudut  lain juga harus diberi tumpuan seperti penguasaan ekonomi.

“Dasar yang dibuat itu harus lebih baik sebab kita mengharapkan reformasi institusi Melayu Bumiputera yang sifatnya lebih bermakna dan bukan sekadar meletakkan peruntukan sahaja,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengkritik Anwar dan tidak yakin kerajaannya boleh membela nasib orang Melayu terutama yang terperangkap dalam kemiskinan.

Penganalisis politik juga menyifatkan Anwar tidak mengemukakan sebarang dasar besar untuk menarik sokongan pengundi Melayu.

Malah mereka melihat Anwar masih terus bergelut mendapat sokongan pengundi Melayu.

Biarpun Anwar mengumumkan banyak insentif serta bantuan kepada golongan berpendapatan rendah termasuk bantuan tunai kepada golongan petani dan nelayan namun ia masih belum memadai, kata mereka.

Ahmad Yazid menjelaskan pihaknya membangkitkan perkara itu kerana harapan MTEM kepada kerajaan pimpinan Anwar sangat tinggi.

MTEM menyokong kerajaan baharu ini kerana prinsip perjuangan Anwar yang menjanjikan reformasi atau pembaharuan secara menyeluruh untuk Malaysia, katanya.

Beliau berharap Anwar akan membuktikan dasar pembangunannya bukan sahaja lebih baik tetapi selari dengan perjuangannya selama ini.

“Kita bukan nak status quo tapi kita nak dasar yang lebih baik sebab kita percaya kerajaan ini kerajaan reformis, jadi tak bolehlah kekal macam dulu.

“MTEM masih menunggu apa dasar dan strategi yang akan diumumkan oleh perdana menteri,” tambahnya.

Pada masa sama, Ahmad Yazid menyarankan agar kerajaan mengetepikan unsur politik dalam agenda pemerkasaan Melayu dan Bumiputera kerana ia mengganggu fokus untuk menyelesaikan masalah.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) juga berpendapat belum nampak lagi sebarang perubahan besar yang mahu dilakukan oleh Anwar bagi agenda ekonomi Melayu dan Bumiputera.

Presidennya Mohamad Yusrizal Yusoff berkata usaha Anwar setakat ini tidak seperti yang diharapkan.

“Kita tak nampak sebarang perubahan besar tapi usaha itu ada, seperti langkah kerajaan untuk meningkatkan sumber pertanian sebagai usaha untuk turunkan harga barang.

“Tapi kita harapkan usaha pelaksanaan yang lebih jitu,” katanya.

Dalam pada itu anggota Sekretariat Gerakan Tanah Air, Armin Baniaz Pahamin mendakwa kerajaan Anwar tidak memberi fokus kepada isu ekonomi orang Melayu dan Bumiputera.

Beliau memberi contoh tindakan Putrajaya yang mahu menutup serta menggabungkan agensi kerajaan seperti Yayasan Pelaburan Bumiputera serta Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera.

“Secara kasarnya penggabungan agensi sepatutnya memberi sokongan lebih padu kepada pembangunan Bumiputera.

“Tapi ia kini seolah-olah memperkecilkan skop dan kepentingan Bumiputera,” katanya.

Semasa membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, Anwar berkata kerajaan mahu menstrukturkan semula syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta anak syarikatnya supaya lebih berkesan.– 6 April, 2023.

Iklan
Iklan